Tarik balik gelaran ahli G25 – DAULAT

Tarik balik gelaran ahli G25 – DAULAT

Ia disebabkan kebodohan mereka yang tidak memikirkan soal umat Islam dengan menghina agama rasmi negara itu.

daulat,g25

PETALING JAYA:
Gelaran Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri yang diberikan kepada sekumpulan bekas penjawat awam G25 wajar ditarik balik.

Perkara itu disuarakan oleh Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen (DAULAT) apabila mencadangkan agar Persatuan Datuk-Datuk dan Majlis Raja-raja Melayu menarik semula gelaran itu disebabkan sikap mereka yang mahu meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang Syariah.

Presidennya, Mohamad Shabudin Teh berkata, mereka yang terbabit tidak menggambarkan sikap sebagai bekas penjawat awam selain menghina kedaulatan undang-undang Syariah.

“Saya rasa terpanggil untuk mengutuk sekerasnya cadangan G25 yang memang tidak relevan serta boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Mereka dengan sewenangnya mahu mengubah syariat Islam dengan menjadikan khalwat bukan kesalahan dan tidak diambil tindakan,” katanya lapor Sinar Harian Online.

Menurut Shabudin, langkah itu perlu dilakukan kerana kebodohan mereka sendiri yang tidak memikirkan soal umat Islam dengan menghina agama rasmi negara itu.

Tegasnya, gelaran tersebut tidak sepatutnya dikurniakan kepada mereka kerana secara tidak langsung telah menghina Institusi Raja-raja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.