Dihubungi FMT, Shamsudin menjelaskan industri seperti perladangan misalannya menghadapi masalah bekalan tenaga kerja pada ketika ini kerana pekerja daripada Indonesia kurang berminat dengan Malaysia kerana negara itu semakin membangun, dan dengan tawaran gaji yang hampir sama.
“Ada masalah dengan bekalan tenaga kerja kerana pekerja Indonesia yang datang ke mari semakin berkurangan, kenaikan levi akan menyebabkan perolehan buruh asing makin sukar dan lebih mahal.
“Soalnya sekarang ini, apakah warga tempatan bersedia melakukan kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja asing ini?”
Shamsudin menjelaskan gaji bukan menjadi isu kerana industri seperti perladangan dan pembinaan membayar gaji yang bagus tetapi warga tempatan mengelak lantaran stigma pada industri tersebut.
Beliau menambah kenaikan itu tidak kena pada masanya ekoran ekonomi yang lemah dan nilai Ringgit yang mengecil.
Shamsudin menjelaskan meskipun dasar levi sedia ada menuntut pekerja membayar levi, tetapi pada hakikatnya, kebanyakan majikan menanggung pembayaran levi sebagai satu kewajikan, seperti mana yang diamalkan sebelum 2013, apabila dasar itu diubah.
Beliau menambah di bawah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), majikan juga akhirnya perlu membayar levi, maka sebab itu banyak perniagaan membantah kenaikan tersebut.
Walaubagaimanapun, beliau tidak yakin kenaikan levi akan mendorong kenaikan harga kerana pengguna amat sensitif pada harga dalam suasana ekonomi ketika ini.
Levi pekerja asing diperkenalkan pada 1992 berikutan perbelanjaan yang ditanggung kerajaan dalam menyediakan kemudahan umum seperti klinik, jalanraya dan prasarana awam lain yang dinikmati oleh warganegara.
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan levi itu bermula 1 Februari. Kenaikan itu akan menyaksikan Putrajaya meraih sekitar RM2.6 bilion dalam bentuk pendapatan. Ramai dalam kalangan komuniti peniaga membantah langkah itu.