Beliau berkata, kerajaan hanya menumpukan langkah keselamatan tanpa menekankan usaha melawan ideologi kumpulan pengganas itu yang memikat sejumlah umat Islam di sini.
“Kerajaan hanya tengok masalah ini daripada sudut keselamatan, tangkap dan tangkap. Akhirnya undang-undang baharu digubal, orang yang simpan poster atau muat turun video Daesh ditahan.
“Tetapi mereka tidak pergi secara mendalam, dan tiada upaya untuk melihatnya daripada sudut sosio-budaya, melawan ideologi dan naratif oleh Daesh,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif di sini, hari ini.
“Pendekatan sebegini masih primitif berbanding di Indonesia, di mana gerakan-gerakan Islam seperti Nahdlatul Ulama dan Muhammadiah giat melawan ideologi Daesh di sana,” katanya lagi.
Menurutnya, antara punca segelintir umat Islam yang menyokong IS adalah kerana terlalu mudah menganggapnya sebagai ‘penyelamat’ terhadap kezaliman yang menimpa umat Islam di dunia, tanpa mengambil kira keadaan politik yang rumit di Timur Tengah.
“Daesh menjadi ‘penyelamat palsu’ (false messiah) untuk mereka. Ini yang kita perlu tanya mengapa,” kata penganalisis politik tempatan dan antarabangsa itu lagi.
Nahdlatul Ulama sebelum ini menerbitkan dokumentari dan menganjurkan persidangan tiga hari yang disiarkan di seluruh dunia, selain menubuhkan pusat pencegahan yang melatih pelajar yang mahir berbahasa Arab untuk menerangkan kesalahan ideologi IS.
Beliau menggesa agar kerajaan bekerjasama dengan masyarakat sivil, terutama pertubuhan Islam di negara ini seperti IKRAM Malaysia dan PAS dalam membanteras pengaruh IS sebelum terlambat.
“Kerajaan perlu berhubung dengan pertubuhan-pertubuhan Islam di sini. Mereka perlu diberi ruang untuk memainkan peranan yang lebih besar.
“Setakat ini mereka hanya ‘business as usual’ kerana merasakan kegiatan dan program mereka sebahagian daripada proses deradikalisasi. Itu memang betul, tetapi masih tidak memadai,” katanya lagi.
