Beliau berkata, penyingkiran Mukhriz itu dibuat akibat dendam kerajaan pemerintah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Boleh dikatakan setiap kali majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1999, saya akan hadir.
“Namun, pada kali ini yakni majlis angkat sumpah Bashah sebagai Menteri Besar sangat berlainan ekoran penggulingan Mukhriz sebagai Menteri Besar akibat dendam kesumat Putrajaya kepada manusia dua beranak iaitu Tun Mahathir dan Mukhriz atas kritikan tajam mereka terhadap Perdana Menteri Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Ketua Penerangan PAS itu turut melahirkan rasa kecewa apabila Mukhriz disingkirkan disebabkan keberanian bercakap benar dengan membuat kritikan terhadap Presiden UMNO.
“Apalah nasib rakyat Kedah dengan Menteri Besar baharu dan barisan EXCO yang tiada moral dan integriti politik yang hanya menjadi pak turut membabi buta. Saya cukup sedih dan kecewa dengan pemimpin politik seperti ini.
“Bagi saya, penyingkiran Mukhriz sebagai Menteri Besar adalah sebenarnya pengkhianatan terhadap rakyat Kedah yang sama sekali tidak boleh diterima. Saya percaya rakyat Kedah akan turut sama menyumpah dan menyampah dengan gerombolan Putrajaya yang menyerang Kedah,” katanya.