KPDNKK diminta berhenti beri alasan – IKHLAS

KPDNKK diminta berhenti beri alasan – IKHLAS

KPDNKK seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk menyekat peniaga yang menaikkan harga barang.

Mohd-Ridzuan-Abdullah_kpdnkk_600

PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta berhenti daripada memberikan alasan tidak cukup pegawai bagi membanteras aktiviti peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang di musim perayaan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, alasan biasa seperti itu tidak wajar lagi digunakan kerana orang ramai mahu penguatkuasaan dilakukan oleh pihak berkenaan demi kepentingaan bersama.

“Saya pernah tengok di pasar Taman Tun Dr Ismail. Ada buka kaunter (KPDNKK) tapi orangnya tidak ada. Dan masa keluar kenyataan anggota tak cukup.

“Kita sebagai jabatan kerajaan mana boleh berikan alasan kepada rakyat. Rakyat nak tahu bagaimana nak selesaikan masalah,” tegasnya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui akan berlaku kenaikan harga barang semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut minggu depan.

Katanya, kenaikan harga barang itu merupakan perkara biasa terutama pada musim perayaan dimana pasaran ekonomi di negara ini dimonopoli oleh bangsa Cina.

“Mereka yang tentukan harga, bukan KPDNKK. Ini yang berlaku, nak tak nak kena beli. Hari ini kita lihat dalam isu ini memang ada barang yang dijual dengan harga yang tinggi,” ujarnya.

Mohd Ridzuan turut mendakwa, KPDNKK seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap peniaga yang menaikkan harga barang jualan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.