
Sinar Harian Online melaporkan, TNB menerusi kenyataan hari ini menyatakan, polisi tersebut selari dengan nilai integriti yang diamalkan dalam segala urusan perniagaannya.
“TNB ingin memaklumkan polisi tiada hadiah yang perlu dipatuhi warga kerja dan pembekalnya. Pembekal TNB pula tidak dibenarkan menawar atau memberi sebarang hadiah kepada warga kerja TNB,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, TNB turut melarang penglibatan mana-mana kakitangannya dalam sebarang urus niaga yang boleh menjejaskan nama baik syarikat.
Menurut syarikat itu lagi, ia berlandaskan kepada kod etika dan peraturan-peraturan sedia ada syarikat bagi mengelakkan sebarang percanggahan kepentingan atau timbulnya sebarang persepsi negatif yang melibatkan mana-mana pihak di dalam sebarang urus niaga antara TNB dengan pihak luar.
Perkara sama turut dilakukan oleh pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang mengambil keputusan untuk menguatkuasakan polisi sama berkuat kuasa serta merta.
“Semua anggota kerja MRT Corp tidak dibenarkan menerima sebarang bentuk hadiah atau ganjaran secara peribadi yang ditawarkan kepada mereka oleh pihak luar.
“MRT Corp berharap mana-mana pihak yang berurusan dengannya perlu menghormati penetapan polisi ini serta tidak akan memberi atau menghantar sebarang bentuk hadiah atau faedah,” kata MRT Corp menerusi iklan di akhbar Utusan Malaysia.