Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan, menggesa supaya Ketua Audit Negara segera mendedahkan laporan audit Lembaga Tabung Haji (TH) supaya keyakinan rakyat dipulihkan selepas terjejas ekoran pendedahan surat amaran Bank Negara Malaysia yang diakui benar oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.
“Buat masa ini, negara tidak perlu dikejutkan dengan satu lagi skandal. Oleh itu, buat TH, memandangkan TH sedang menunggu keputusan Ketua Audit Negara sebelum memutuskan jumlah dividen dan bonus, saya menyarankan agar laporan audit Ketua Audit Negara terhadap TH juga didedahkan dalam waktu tersebut.
“Ini kerana penafian masalah TH yang dibuat oleh ahli Parlimen BN yang memacu TH seperti Pengerusinya, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan pembelian tanah TRX (Tun Razak Exchange) sudah tidak lagi akan diyakini rakyat,” tulisnya dalam muat naik status di Facebook miliknya.
Tuan Ibrahim juga menyarankan supaya tidak lagi melantik Pengerusi TH dalam kalangan ahli politik.
“Lebih elok, jika Pengerusi TH tidak lagi dilantik daripada kalangan orang politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyampaikan kekesalan terhadap tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memberi undi di Dewan Rakyat untuk meluluskan usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Walaupun pada awalnya beliau menjangka sekurang-kurangnya 10 ke 20 orang ahli Parlimen BN yang akan membantah TPPA demi kedaulatan negara, namun perkara sebaliknya berlaku.
“Kita hanya boleh mengharapkan keadilan daripada sistem dan pejuang yang adil, malangnya di Malaysia, kedua-duanya tiada. Yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang diamanahkan rakyat berusaha mempertahankan karier politik seorang yang menerima dana RM2.6 bilion,” katanya.
Jelasnya lagi, walaupun gagal menyekat kemaraan TPPA di Parlimen, ia tidak mematahkan semangat parti Islam itu, menggunakan alternatif kedua dengan menyeru rakyat negara ini menolak ahli Parlimen yang menyokong TPPA pada pilihan raya akan datang.
