Prasarana guna kepakaran tempatan pasang tren

Prasarana guna kepakaran tempatan pasang tren

Kerja-kerja pemasangan akan dilakukan oleh jurutera-jurutera dan para pekerja tempatan dengan sokongan dan pengawasan beberapa jurutera yang didatangkan daripada China.

prasarana

BATU GAJAH:
CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company (CSR) akan memasang 15 daripada 50 tren enam gerabak yang dibeli oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dari China.

Ia adalah antara usaha Prasarana untuk memanfaatkan kepakaran tempatan syarikat pengangkutan awam.

“Kesemua komponen bagi set tren pertama yang akan dipasang di kilang CSR Batu Gajah ini akan diterima sepenuhnya pada 27 Januari 2016. Rangka kosong set tren yang kedua dan ketiga dijangka akan diterima di sini pada akhir Januari 2016.

“Kerja-kerja pemasangan akan dilakukan oleh jurutera-jurutera dan para pekerja tempatan dengan sokongan dan pengawasan beberapa jurutera yang didatangkan daripada China,” kata Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE).

Ir. Zohari juga menambah, kandungan tempatan akan digunakan untuk 15 set tren enam-gerabak yang akan dipasang di fasiliti Batu Gajah itu termasuk penghantaran tren oleh syarikat tempatan, perolehan komponen-komponen tren, pengurusan projek, pemasangan tren, pemantauan qualiti, sistem dokumentasi, ujian-ujian statik dan dinamik serta sokongan semasa “Defect Liability Period” (DLP).

Bagi projek LEP Laluan Ampang, yang menyaksikan penyambungan laluan LRT dari stesen Sri Petaling ke stesen integrasi Putra Heights, Prasarana membeli 20 set tren daripada CSR ZELC dan 30 lagi dibeli bagi menggantikan tren-tren yang telah digunakan sejak perkhidmatan LRT Laluan Ampang ini diperkenalkan pada 1996.

Prasarana meletakkan syarat dalam perjanjian mereka dengan CSR Zhuhou supaya 15 daripada tren-tren ini dipasang di dalam negara untuk memanfaatkan pekerja-pekerja tempatan.

“Kerja-kerja pemasangan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melibatkan kerja-kerja kejuruteraan tahap tertinggi kerana melibatkan proses yang menyeluruh daripada rangka tren yang kosong kepada set yang dilengkapi dengan sistem elektrikal, isyarat dan semboyan yang lengkap di samping perincian mekanikal dan kejuruteraan ini,” jelas Ir. Zohari

Kerja-kerja pemasangan tren yang pertama dijangka mengambil masa selama empat bulan, mengambil kira proses bagi “knowledge transfer” manakala set tren yang kedua dan ketiga dijangka akan hanya mengambil masa selama tiga bulan sebelum hanya dua bulan untuk proses pemasangan tren yang berikutnya.

Sepanjang proses pemasangan ,pelbagai ujian akan dipertimbangkan termasuklah ujian statik bagi sistem bogie, sistem ‘traction’, system brek, penghawa dingin, dan sistem maklumat penumpang yang akan dipasang di dalam tren.

Terdahulu, tren tersebut dihantar ke laluan Ampang bagi ujian ketahanan lasak atau ‘endurance’ 1,500km tanpa gagal selain ujian ketahanan hujan serta ujian sistem integrasi tren di kilang CSR Batu Gajah, semuanya tanpa berkompromi pada soal keselamatan.

Buat masa ini, Prasarana sudah menerima 24 daripada 50 tren yang dibeli daripada CSR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.