27 Jan 2016 menjadi hari sedih untuk negara apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015 menunjukkan kedudukan negara jatuh ke tangga 54 berbanding 50 pada tahun sebelumnya.
Lagi sedih apabila markah CPI Malaysia juga merosot daripada 52 kepada 50 markah. Paling sedih apabila diberitahu, markah persepsi rasuah negara Afrika yang ada konflik macam Rwanda dan Namibia lagi tinggi dari Malaysia.
Itu susah untuk diterima sebab semua tahu yang Malaysia adalah jauh lagi aman dan makmur dari negara benua Afrika berkenaan.
Nampaknya transformasi Datuk Seri Najib Razak tak menjadi dalam bab cegah rasuah dan jelas sekali Pelan Integriti Nasional (PIN) tidak mencapai matlamat yang diingini.
Kerajaan tentulah akan dihentam sana sini apabila CPI 2015 didedahkan, namun ada satu pihak lagi yang kita kena beri tumpuan dan persoalkan peranannya.
Pihak yang kita maksudkan ini ialah Institut Integriti Malaysia atau lebih dikenali IIM. Bangunan IIM ini cantik berwarna merah di atas bukit.
Jika dilihat pada dasar, IIM bertanggungjawab menyelaras dan memantau pelaksanaan PIN, di mana objektif utama ialah membangunkan rakyat Malaysia berintegriti, berdaya tahan dan mempunyai nilai murni sejagat.
Isunya, adakah IIM menjalankan tanggungjawabnya dan melihatkan perkembangan politik semasa, ekonomi, pelbagai isu berbangkit IIM semacam gagal menanam integriti terhadap orang kita nun di ‘atas sana’, apatah lagi rakyat Malaysia.
Satu perkara lagi ialah Kajian Persepsi Integriti Nasional. Di mana kajian itu? Apa hasilnya dan kenapa tidak didedahkan kepada umum? Adakah kajian itu sudah dihentikan atau masih berjalan namun disenyapkan?
Memang sedih sebab hakikat integriti dengan ikrar integriti IIM dirasakan sangat berbeza di jiwa dan fikiran rata-rata penduduk Malaysia.
Kita menggesa IIM supaya bersikap telus dan dedahkan polemik integriti di Malaysia. Bacalah laporan media elektronik dan cetak, media sosial dan sebagainya. Semua isu yang meletup ketika ini sangatlah berkait rapat dengan soal integriti sebenarnya dan inilah peranan IIM.
Malangnya IIM dilihat senyap sahaja dan seolah-olah badan ini fungsinya hanya sebagai penghias kepada wayang kerajaan memerangi rasuah.
