Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap negara perlu bekerjasama menangani kumpulan militan itu yang kini menjadi masalah global.
“Komuniti global perlu bersatu. Keadaan di hadapan kita sudah berubah maka respon kita juga perlu berubah, kita perlu melihat dan menilai semula, memikir dan merangka semula. Kaedah mesti berbeza sementara objektif kita tetap sama,” katanya dalam ucapan penutup program itu, hari ini.
Beliau berkata lagi, aksi keganasan tidak perlu dilabel dengan nama tertentu kerana pada akhirnya hanya menyebabkan kemusnahan dan kehancuran.
“Aksi keganasan sama ada berpunca daripada idealogi politik, fanatik agama yang menyeleweng atau pun kegilaan semata-mata, semua ini adalah sisi-sisi berbeza daripada syiling yang sama. Ia hanya membawa kepada huru-hara dan kematian.
“Maka kita perlu kekal tekad dan teguh. Kita mesti dan akan menewaskan mereka,” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Persidangan selama dua hari yang berakhir hari ini menjemput negara anggota ASEAN dan beberapa negara lain untuk berkongsi pengalaman dan maklumat berhubung isu keganasan IS.
Setiap wakil negara juga membentangkan kertas kerja masing-masing meliputi pelbagai perkara seputar isu berkenaan.
