Prasarana siasat dakwaan polis bantuan minta rasuah

Prasarana siasat dakwaan polis bantuan minta rasuah

Ia merupakan insiden terpencil dan jarang berlaku di stesen LRT

lim-jin-aun_lrt_600

PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang menyiasat dakwaan seorang anggota polis bantuan di Stesen LRT Wangsa Maju yang didakwa cuba mendapatkan rasuah daripada seorang lelaki Cina, pengutip barangan kitar semula yang videonya menjadi viral di media sosial.

Naib Presiden Eksekutif, Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun berkata, pihaknya sedia maklum rakaman yang tersebar itu dan siasatan sedang dibuat dari segenap sudut.

“Kita sedang menyiasat kes itu kerana ia merupakan insiden yang jarang-jarang berlaku.

“Ia merupakan kejadian terpencil dan tidak perlu diperbesar-besarkan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Mengulas lanjut, Lim meminta orang ramai agar menghentikan spekulasi yang tersebar meluas di Facebook berhubung penyebaran rakaman aksi pertengkaran itu sementara menunggu kes yang disiasat mendapat jawapannya.

“Kita minta spekulasi ini dihentikan. Kita akan mengambil tindakan sekiranya dakwaan itu benar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Lim menjelaskan, polis bantuan yang mengawal setiap stesen LRT mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa sahaja daripada mengutip sampah atau membuat sebarang aktiviti di mana-mana stesen tanpa kebenaran.

Katanya, aktiviti mengutip sampah telah diserahkan kepada kontraktor pembersihan dan pihak lain tidak dibenarkan mengutip atau mengambil apa sahaja benda di stesen LRT kerana dibimbangi akan mengakibatkan kecederaan atau mengotorkan kawasan awam sekiranya mereka berbuat demikian.

“Polis bantuan kami mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa sahaja daripada melakukan sebarang aktiviti di stesen LRT atas faktor-faktor keselamatan dan bagi menjaga tempat awam,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.