Malah ia sekaligus menyukarkan sesebuah pasukan itu mencapai tahap kemajuan pasukan Eropah.
Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Safirul Azli Abu Bakar berkata, sesebuah pasukan itu perlu diuruskan seperti perniagaan supaya ia memberi pulangan keuntungan kepada kelab.
“Adakah pelaburan (JDT) ini berdasarkan untuk mendapat pulangan berlipat kali ganda atau semata-mata untuk membangunkan pasukan bola sepak sahaja? Kalau semata-mata nak membangunkan pasukan bola sepak, dalam konteks liga profesional yang semuanya dijalankan seperti perniagaan dia susah untuk bertahan lama,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, dia mencadangkan supaya semua pasukan bola sepak seluruh negara perlu dimiliki oleh badan korporat yang besar bagi memastikan pelan pembangunan jangka panjang sesebuah pasukan itu dapat dilaksanakan dan terjamin seperti yang dilakukan pasukan bertaraf bintang dunia.
“Saya rasa lebih baik sekiranya semua kelab-kelab bola yang berada di Malaysia ini dipunyai oleh badan-badan korporat supaya kelab itu sendiri terjamin dalam pelan masa panjang, sederhana dan pendek.
“Tetapi kalau badan korporat ini masuk sebagai penaja sahaja untuk menggunakan kelab itu bagi mempromosi barangan mereka sahaja ia tidak akan kemana. Malah untuk mencapai tahap sesebuah pasukan yang profesional, kelab itu sendiri perlu diurus secara profesional oleh badan-badan korporat,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan mewujudkan bandar sukan JDT, Safirul berkata, sekiranya hanya JDT sahaja yang serius membangunkan mutu bola sepak negeri maka ia tidak akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan bola sepak negara.
Menurutnya lagi, apa yang perlu dilakukan ialah semua kelab bola sepak mengorak langkah sama.
“Kebimbangan saya ialah bila JDT membuat pelaburan yang begitu banyak (pembinaan bandar sukan JDT) tetapi dalam masa sama jika pasukan di negara ini sendiri lemah macam mana nak naik. Liga (pasukan lain) itu seharusnya naik dan bersaing bersama-sama JDT,” katanya.
“Yang penting usaha JDT itu sepatutnya menjadi pemangkin kepada kelab lain supaya dapat maju dari segi prestasi seluruh negara yang akhirnya memberi kesan yang baik kepada pasukan kebangsaan,” katanya.