JAKIM dikecam kerana haramkan Syiah

JAKIM dikecam kerana haramkan Syiah

Panel dari Indonesia, Arab Saudi dan Singapura menyangkal pendirian JAKIM bahawa Syiah adalah ancaman kepada keselamatan negara.

jakim
KUALA LUMPUR: Ahli panel Persidangan Antarabangsa tentang Deradikalisasi dan Menentang Ekstremisme yang diadakan hari ini mengecam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana mengharamkan Syiah.

Pengarah Institut Analisis Dasar Konflik Jakarta, Dr Sidney Jones berkata pendirian itu menunjukkan sikap tidak toleransi JAKIM.

“Sejujurnya saya terganggu dengan pembentangan tadi kerana ia mencadangkan sikap tidak toleransi yang meluas,” katanya.

Sebelum itu, panel JAKIM Norliah Sajuri dalam pembentangan bertajuk ‘Pengalaman Malaysia dalam Deradikalisasi dan Pemulihan’ berkata selain ajaran sesat, fahaman Syiah juga diharamkan untuk disebarkan di Malaysia atas sebab mengancam keselamatan negara.

Dr Sidney berkata, sikap JAKIM itu tidak asing dalam kalangan komuniti di rantau ini yang menganggap pegangan mereka sebagai satu-satunya yang sah dan menolak fahaman pihak lain yang berbeza.

Wakil dari Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Dr Abdulrahman Al-Hadlaq pula menyingkap pengalaman di negara itu, di mana penganut Syiah diterima sebagai warga negara dan menikmati nikmat yang sama dengan warga lain.

Di rantau Arab, katanya lagi, memang ada perasaan kurang senang terhadap Syiah ekoran tindakan Iran yang tidak disenangi negara-negara lain.

“Saya faham jika ada yang takutkan Syiah. Tetapi tidak adil untuk membuat generalisasi terhadap semua penganutnya,” kata Pengarah Keselamatan Idealogi kementerian itu lagi.

Pensyarah Universiti Teknologi Nanyang Singapura Dr Mohamed Ali pula berkongsi sentimen yang sama dan berkata, penganut Syiah sememangnya sudah lama wujud di negara itu.

“Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bertanggungjawab menjaga hal-ehwal Islam, termasuklah daripada pelbagai fahaman,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.