Aktiviti Syiah, Kristian tak ancam keselamatan negara, perbicaraan Pastor Koh diberitahu

Aktiviti Syiah, Kristian tak ancam keselamatan negara, perbicaraan Pastor Koh diberitahu

Bekas pegawai kanan Cawangan Khas Mohamad Nadzri Mat Isa berkata dapatkan itu dimaklumkan pegawainya dalam satu taklimat.

Pastor Raymond Koh
Pastor Raymond Koh diculik sekumpulan individu tidak dikenali di Jalan SS4B/10 in Petaling Jaya, Selangor, lapan tahun lalu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa aktiviti Syiah dan Kristianisasi tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Bekas ketua bahagian pelampau sosial Cawangan Khas, Mohamad Nadzri Mat Isa berkata dapatan itu dimaklumkan kepadanya dalam satu taklimat oleh pegawainya sejurus beliau mengambil alih unit tersebut pada Ogos 2018.

“Saya juga dimaklumkan mengenai kes Pastor (Raymond) Koh yang ketika itu jadi topik hangat. Memandangkan ia disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kami tidak campur tangan,” katanya.

Nadzri memberi keterangan dalam perbicaraan saman isteri Koh, Susanna Liew, terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya yang diculik di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya lapan tahun lalu.

Liew mahu pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap penculikan suaminya dan melakukan salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Nadzri turut memberitahu mahkamah beliau sedar pendirian pendahulunya, Awaludin Jadid, berhubung isu Syiah dan Kristian adalah bercanggah.

Pasukan petugas khas ditubuhkan kerajaan pada 2019 bagi menyiasat kehilangan Koh dan seorang lagi aktivis, Amri Che Mat, menamakan Awaludin dan sembilan individu lain sebagai ‘individu berkepentingan’ dalam kes berkenaan.

Ketika disoal-balas mengenai kenyataan Awaludin, Nadzri enggan memberi komen.

Bagaimanapun, peguam Jerald Gomez yang mewakili Liew, menggasak saksi untuk memberikan komen terhadap percanggahan itu.

“Dia (Awaludin) kata dalam satu ceramah mendakwa penganut Syiah kini berada dalam badan kehakiman, jabatan agama dan juga polis, dan ia menyukarkan untuk mendakwa mereka,” kata peguam itu.

“Ini yang pasukan petugas khas simpulkan. Saya tidak mahu jawab,” kata Nadzri.

Apabila Gomez terus mendesak, Nadzri memberitahu Hakim Su Tiang Joo bahawa beliau tidak mahu menjawab soalan mengenai Awaludin.

Gomez kemudiannya memberitahu hakim bahawa akan bawa isu itu ketika hujahan.

‘Tiada agenda terhadap isteri Koh’

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan pegawai penyiasat, Supari Muhammad, yang mendakwa beliau tiada ‘agenda’ terhadap Liew apabila menyoalnya mengenai aktiviti penyebaran agama, dan bukan penculikan suaminya.

“Daripada rekod, kami dapati satu acara yang dianjurkan Koh di DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama) yang dikatakan sebagai acara penyebaran agama.

“Saya hanya mahu tahu sama ada beliau mempunyai musuh kerana beliau pernah membuat laporan polis mengatakan menerima peluru. Saya tidak menuduh Puan Susan (Liew) atau pastor itu,” katanya.

Supari berkata beliau masih belum menemui sebarang motif bagi penculikan Koh.

Perbicaraan bersambung 3 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.