Pemilik restoran tersebut, Mustafa Othman menerusi muatnaik status Facebook miliknya berkata, tindakan itu berbentuk provokasi daripada pihak yang berkepentingan politik.
Terdahulu, pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita dalam laman Facebook bahawa Perdana Menteri dihidang dengan makan malam Me’nate Steak Hub di Seri Perdana pada harga RM19,284 untuk satu malam.
Mustafa menjelaskan tanda harga yang dipamerkan adalah hasil suntingan dan ia bukanlah standard tanda harga yang digunakan restoran berkenaan.
“Tanda harga serta nota berikut semacam dirancang untuk dipamerkan itu tidak sama dengan tanda harga standard yang digunakan oleh Me’nate Steak Hub di semua outlet kami, ditambah pula semua tanda harga kami mempunyai bercoding yang tersendiri berbeza dengan apa yang diviralkan,” jelas Mustafa.
Dia turut mempersoalkan kombinasi hidangan makanan dan gambar tukang masak yang bukan dari restoran mereka,
“Jika makan stik dan Matsusaka, mana boleh ada nasi dan lauk-pauk lain?” soal Mustafa.
Mustafa kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan cerita berkenaan.