Dua produk Qu Puteh diarah tarik balik

Dua produk Qu Puteh diarah tarik balik

Produk kosmetik yang mengandungi raksa boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Qu-Puteh
PETALING JAYA:
Selepas Brunei mengharamkan penjualan tiga jenis produk keluaran Qu Puteh kerana didapati mengandungi bahan berbahaya, hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan arahan sama.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) KKM telah menerima laporan kesan buruk daripada pengguna yang mengalami tinnitus (berdengung dalam telinga) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block selama lebih kurang tiga bulan.

Katanya, pengguna tersebut telah pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk berkenaan.

“BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block. Hasil pengujian menunjukkan salah satu produk tersebut iaitu Qu Outeh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri (raksa) pada paras yang tinggi.

“Produk kosmetik yang dicampur palsukan dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan.

“Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” katanya.

Menurut Noor Hisham lagi, kesan mudarat akibat pendedahan kepada raksa boleh juga dialami orang sekeliling apabila produk kosmetik yang mengandungi raksa itu disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Tambah beliau, pemberitahuan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah dibatalkan dan pihak syarikat bertanggungjawab ke atas pemberitahuan produk berkenaan telah diarah untuk memberhentikan penjualan dan pembekalan dengan serta merta selain, memanggil balik semua stok fizikal produk tersebut dalam tempoh 72 jam.

Penjual atau pembekal yang engkar dengan arahan itu boleh dikenakan hukuman dan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya, kata Norr Hisham.

Jelasnya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.