Polis salahkan JMM punca serbuan gagal

Polis salahkan JMM punca serbuan gagal

Tindakan JMM membuat sidang akhbar bagi menyalurkan maklumat pusat judi haram boleh mengancam nyawa mereka sendiri.

Jaringan-Melayu
SHAH ALAM: Polis menyalahkan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sebagai punca serbuan yang dilakukan di pusat judi sekitar Ampang gagal.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya kesal dengan sikap JMM yang seolah-olah tidak memahami tugas polis walaupun beberapa perjumpaan telah dilakukan sebelum ini.

“Saya agak terkilan, kerana mereka (JMM) buat laporan secara terbuka. Kita hargai maklumat yang disalurkan tetapi penyaluran maklumat melalui sidang media begitu tidak sesuai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Abdul Samah berkata, ketika serbuan dilakukan malam tadi, pihak yang terlibat dengan perjudian haram itu telah tahu lebih awal maklumat operasi tersebut.

Ia sekaligus menyebabkan pemilik judi haram bertindak menutup premis-premis mereka.

“Semalam ketika operasi dilakukan, kebanyakan premis ini tutup. Kita akan ambil tindakan sekiranya mereka beroperasi semula,” katanya.

Jelas Abdul Samah, tindakan JMM yang melakukan pendedahan secara terbuka hanya akan mengancam keselamatan diri mereka sendiri.

“Ia hanya mengundang bahaya kepada mereka sendiri,” katanya.

Semalam, JMM menyerahkan bukti kewujudan kira-kira 20 pusat judi haram yang beroperasi di sini, yang didakwa milik seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’.

Pengerusi JMM turut mengarahkan ahli-ahlinya untuk ke premis yang didakwa memiliki mesin judi slot bagi mengumpul bahan bukti sejak November tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.