PKR Sepang bergolak selepas pemimpinnya digantung

PKR Sepang bergolak selepas pemimpinnya digantung

Pemimpin PKR cabang itu mendakwa digantung keahlian kerana lantang mengkritik pimpinan parti pada Kongres PKR

rafizi

PETALING JAYA:
PKR didakwa menggunakan taktik kotor dengan menggantung keahlian PKR Sepang supaya mengunci mulut pemimpin akar umbi cabang itu yang mengkritik parti.

Dakwaan itu dibuat Pengerusi Tetap PKR Cabang Sepang, Arffain Mohamed yang berkata, keputusan dibuat ekoran kelantangannya menegur pimpinan parti pada Kongres PKR pada 29 Nov lepas, yang disifatkannya tidak sah kerana membenarkan kehadiran perwakilan dari Cabang PKR yang digantung.

Jelasnya, beliau menegur parti itu menggunakan saluran yang betul dengan beberapa kali menghantar surat kepada Setiausaha Agung, Rafizi Ramli, namun ia langsung tidak dipeduli sehinggalah beliau mendapat tahu dirinya bakal digantung keanggotaan.

“Rafizi ini tak faham bahasa, hari pertama dan ketiga semasa persidangan berlangsung, saya suruh Rafizi keluarkan perwakilan Sepang. Saya juga minta perwakilan Sepang dikeluarkan dari minit Kongres, tapi dia buat tak faham.

“Apa yang dibuat pimpinan sekarang ialah mencari kesalahan dan menggantung keanggotaan saya pula. Saya mahu ingatkan, macam mana pun tindakan mereka, ia tidak akan menghalalkan cara. Saya cuba tegakkan keadilan, kenapa saya pula yang digantung?” soalnya dalam nada yang kecewa dalam satu temubual dengan FMT, di sini, hari ini.

Difahamkan, selain Arffain, dua lagi pemimpin PKR Sepang yang bakal digantung ialah Pengerusi Kira-kira dan ahli jawatankuasanya, Alias Mohd dan Nasiruddin Mohamed.

Arffain mendapat tahu berita dirinya bakal digantung keahlian daripada seorang pegawai khas pimpinan pusat PKR pada minggu lalu melalui panggilan telefon, namun belum menerima surat secara rasmi.

Sementara itu, Rafizi ketika dihubungi FMT hari ini, menolak dakwaan Arffain dan menegaskan semua langkah adalah diambil menerusi Lembaga Disipilin berdasarkan aduan.

Rafizi turut menyifatkan kenyataan Arffain itu sebagai pandangan peribadi dan tindakan yang dikenakan terhadap pemimpin PKR Sepang itu adalah mengikut perlembagaan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.