
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, seruan supaya Hishammuddin diterima semula hanya sia-sia jika beliau sendiri tidak merayu.
“Jika Hishammuddin berdiam diri dan tidak menyatakan hasrat sekurang-kurangnya buat rayuan untuk dipendekkan penggantungan, tidak menjadi satu kewajipan bagi pemimpin Umno untuk terima beliau,” katanya kepada FMT, mengulas usul Umno Sembrong supaya kepimpinan parti terima semula bekas ketua bahagiannya.
Ketua Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi, ketika merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong berjanji untuk membawa usul berkenaan kepada kepimpinan tertinggi parti.
“Takkan perigi cari timba pula…dalam hal ini Hishammuddin sendiri kena ada usaha,” kata Mazlan.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023. Media memetik surat penggantungan itu melaporkan beliau digantung kerana tindakan melanggar fasal 20.9 perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.
Pada Disember tahun lalu, ada gesaan supaya Hishamuddin kembali kepada Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Presiden Zahid Hamidi dilapor berkata, Umno sedia terima Hishammuddin namun perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan.
Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.
Mengulas lanjut, Mazlan berpandangan Umno wajar mempertimbangkan usul bahagian Sembrong itu yang menurutnya isyarat Hishammuddin sedia kembali aktif.
“Setakat ini beliau masih sokong kerajaan di Parlimen dan tidak menyertai mana-mana parti, maka boleh sifatkan Hishammuddin seorang yang setia sama juga seperti Tajuddin.
“Usul Umno Sembrong ini relevan dan wajar untuk diteliti oleh parti,” katanya, sambil menambah kehadiran Hishammuddin yang dianggap sebagai pemimpin masa depan, mampu mengukuhkan Umno Johor.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pengalaman bekas menteri kanan itu mampu menambah sokongan akar umbi kepada Umno menjelang PRU16, walaupun beliau tidak selantang bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, yang turut digantung atau bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, yang dipecat keahlian.
“Kemasukan mereka yang digantung atau dibuang ke dalam Umno sudah pasti ada serampang dua mata…ia mampu menguatkan parti kerana mereka ada (sokongan) akar umbi dan pengikut tersendiri,” katanya.