
Beliau sebaliknya berkata, isu yang dibangkit adalah perkara yang sudah pun dalam pengetahuan umum serta boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada rakyat mahupun negara.
Malah Zahir berkata, sembilan Ahli Parlimen PKR hanya mengemukakan beberapa pendekatan yang boleh memberi pencerahan berhubung isu tersebut, serta cadangan penyelesaian mengikut batas dari segi perlembagaan.
“Kita perlu memberi peluang secukup serta seluasnya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan, dan seterusnya menutup segala persepsi yang wujud di luar sana dengan fakta mahupun maklumat yang betul dan tepat.

“Tiada apa-apa pelanggaran disiplin dalaman parti,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Zahir berkata perkara itu boleh dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti sebagaimana wujud dalam perlembagaan PKR sekiranya mana-mana pihak merasakan ada terkait dengan disiplin parti.
“Bergantung kepada syor dari jawatankuasa tersebut, perlu dirujuk kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum tindakan dapat diambil seperti yang dalam desakan tersebut,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor menyeru penggantungan sembilan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan menubuhkan RCI mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.
Ketua cabang berkenaan berkata, tindakan Ahli Parlimen tersebut melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan perdana menteri serta membuka ruang kepada manipulasi politik pihak lawan.
Ini selepas kumpulan Ahli Parlimen diketuai Rafizi Ramli menggesa penubuhan RCI serta satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan.
Mengulas lanjut, Zahir berkata terdapat beberapa kes pelanggaran disiplin ‘lebih jelas’ yang wajar parti mengambil tindakan dengan kadar segera.
“Ramai yang masih menanti tindakan disiplin terhadap kesalahan disiplin yang jelas ini,” katanya.
Beliau merujuk video tular di media sosial pada Mei lalu yang memaparkan Ketua Bahagian Wangsa Maju Lai Chen Heng bercakap soal sumbangan kewangan kepada bahagian itu daripada seorang ahli perniagaan terkenal dan merujuknya sebagai ‘dana tidak diaudit’ dikaitkan dengan seorang pemimpin politik kanan.
Sebelum ini, FMT memetik sumber berkata tindakan disiplin dijangka diambil terhadap Lai selepas Kongres Nasional PKR pada 24 Mei lalu.
Bagaimanapun, Lai dilaporkan berkata klip video berkenaan disunting secara terpilih dan disebarkan dengan niat jahat.