Kedudukan tercorot, jangan salahkan jurulatih kebangsaan

Kedudukan tercorot, jangan salahkan jurulatih kebangsaan

Jurulatih negeri perlu bertanggungjawab tangani kelemahan bola sepak negara, bukan lepas tangan

Lim-Teong-Kim

KUALA LUMPUR:
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan tidak sepatutnya dipersalahkan selepas pasukan bola sepak negara berada pada kedudukan yang corot.

Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim, berkata pihak yang sepatutnya dipersalahkan ialah jurulatih kelab itu sendiri, kerana mereka bertanggungjawab melahirkan pemain yang berkualiti.

“Jurulatih negeri yang perlu mengambil tanggungjawab menangani kelemahan bola sepak negara, bukan ambil sikap sambil lewa, lepas itu cuci tangan.

“Mereka mempunyai tanggungjawab melatih pemain (yang mewakili kebangsaan) ini. Bukan jurulatih kebangsaan kerana pemain datang daripada kelab,” katanya ketika ditemui di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Teong Kim yang berkhidmat sebagai jurulatih pasukan muda Bayern Munich selama 10 tahun berkata, mutu pasukan bola sepak kebangsaan tidak maju sekiranya faktor kecergasan dijadikan sebagai alasan pasukan negara berada pada kedudukan tercorot.

“Saya tidak faham mengapa kita masih bercakap soal kecergasan. Jurulatih negeri sepatutnya melatih pemain supaya mempunyai tahap kecergasan tinggi dan jurulatih kebangsaan hanya ubah taktik sahaja, bukan susah buat kecergasan ini.

“Di Eropah, mereka tidak bercakap soal kecergasan tetapi di Malaysia masih lagi cakap soal kecergasan, mereka cakap daripada segi psikologi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.