Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim, berkata sudah tiba masanya pemain muda diangkat menjadi tonggak utama pasukan negara.
Katanya, pemain senior ketika ini sudah tidak lagi berminat untuk mewakili negara dan mereka lebih tertumpu kepada pasukan negeri sahaja.
“Sekarang tiada masalah untuk pasukan B-23 menjadi pasukan kebangsaan, biar pemain ini menerima pengalaman. Kalau masa Sukan SEA nanti mereka kalah sekali pun, mereka akan jadikan itu sebagai pengalaman. Suatu hari nanti mereka akan menjadi pemain yang matang dalam pasukan kebangsaan.
“Pemain yang ada sekarang sudah sampai tahap maksimum bermain, mereka pun sudah tidak mahu bermian untuk negara, mereka lebih pentingkan pasukan kelab. Beri peluang kepada kepada pemain muda yang boleh tingkatkan mutu bola sepak negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Bola Sepak Malaysia di Bukit Jalil, hari ini.
Mengulas mengenai calon ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Lim berkata, soal pemilihan jurulatih tidak sepatutnya dijadikan isu, sebaliknya menumpukan pembangunan pasukan bola sepak di setiap negeri.
“Kalau (Persatuan Bola Sepak Malaysia) banyak duit boleh guna jurulatih luar. Kalau tidak, guna jurulatih tempatan. Yang penting ialah pelaburan dalam pembangunan bola sepak itu,” katanya.