Presiden Gabungan Kami Sayang Mahasiswa (KASIH), Mariam Abd Rashid, berkata pihaknya tidak boleh menerima cadangan kerajaan meminta pelajar kelaparan mencari kerja separuh masa.
“Saya tidak setuju dengan cadangan (kerja separuh masa). Malaysia adalah negara membangun, maka pendidikan pelajar sepatutnya didanai.
“Kita tidak boleh biarkan pelajar bekerja separuh masa. Tiada manusia yang boleh membuat dua kerja dalam satu masa. Lagipun, peluang pekerjaan sangat terhad pada masa sekarang selain jadual pelajar yang padat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu pelajar kelaparan yang dilaporkan mutakhir ini sehingga ada yang menghadapi masalah kesihatan kronik.
Tambahnya lagi, kebanyakan laporan yang diterima oleh KASIH adalah daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Selangor (UNISEL).
Beliau juga menyangkal persepsi awam bahawa pelajar hari ini terlalu dimanjakan dan menyifatkan kes pelajar yang menghabiskan wang untuk bermewah sebagai kes terpencil.
“Isu (pelajar kelaparan) ini bukan baharu, namun hanya timbul mutakhir ini,” katanya lagi.