Pelancong wanita China malang digigit ular sawa

Pelancong wanita China malang digigit ular sawa

Ular sawa itu menyerang Jing sejurus dia mendekati untuk menciumnya

ular

PETALING JAYA:
Seorang pelancong wanita warga China menerima nasib malang apabila hidungnya digigit seekor ular sawa ketika cuba mencium reptilia itu pada pertunjukan ular di sebuah taman haiwan yang terletak bersebelahan Zoo Phuket, di Thailand.

Phuket News melaporkan, akibat kejadian tersebut, wanita berusia 29 tahun itu yang dikenali sebagai Jin Jing terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan dan jahitan.

Rakaman video yang diambil oleh seorang pengunjung mengenai kejadian itu menjadi viral di media sosial.

Menerusi rakaman berkenaan, Jing yang berambut panjang mendekati ular sawa yang dipegang oleh pengendali ular untuk menciumnya namun, secara tiba-tiba reptilia itu bertindak menyerang dan enggan melepaskannya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menjerit ekoran panik melihatkan Jing yang kesakitan digigit ular sawa berkenaan.

Tidak dimaklumkan sama ada aksi Jing yang cuba mencium ular sawa berkenaan adalah atas arahan pengendali ular terbabit atau atas kemahuannya sendiri.

Akibat insiden itu, pihak taman tema berkenaan telah memberikan pampasan kepada Jing sebanyak $3,200.

Ular sawa merupakan sejenis reptilia dari spesis `phyton’ yang tidak berbisa dan mempunyai saiz tubuh yang besar.

 

https://www.youtube.com/watch?v=Xo-kzr0Kgiw

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.