Presidennya Datuk Zainul Rijal Abdul Bakar berkata tribunal itu boleh menjadi platform terbaik bagi para hakim untuk bersama-sama menyelesaikan perkara itu demi kebaikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit.
Penubuhan tribunal itu dicadangkan selepas Mahkamah Rayuan baru-baru ini memberi keputusannya mengenai kes melibatkan guru tadika, M. Indira Gandhi, yang anak-anaknya memeluk Islam selepas bekas suaminya K. Patmanathan berbuat demikian dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdul-lah.
“Ini adalah hal keluarga. Daripada membawa kes ini ke mahkamah yang mempunyai prosedur ketat, sebuah tribunal boleh mencari penyelesaian yang lebih baik dan secara lebih tidak formal serta fleksibel,” katanya.
Zainul Rijal, yang juga peguam syarie, menyatakan demikian kepada pemberita selepas sesi mengenai Agama dan Hak Kanak-kanak di Malaysia pada Konvensyen Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Mengenai Hikmah 2016 (ICW 2.0) di sini, hari ini.
Beliau berkata tribunal itu, yang cadangan penubuhannya telah dikemukakan kepada kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan menteri berkenaan dua tahun lepas, juga akan mengendalikan pertikaian melibatkan orang Islam dan bukan Islam.
Semasa sesi soal jawab ICW 2.0, Zainul Rijal berkata langkah meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 juga boleh membantu menyelesaikan pertikaian seperti itu.
Jika undang-undang itu tidak dipinda, katanya, masalah akan terus wujud dan tiada penghujungnya memandangkan Malaysia mengamalkan dua sistem undang-undang.
Sementara itu, peguam Sweden, Kristofer Stahre, yang bertindak sebagai peguam bela bagi pasangan rakyat Malaysia dalam kes penderaan kanak-kanak di negara itu, berkata pengharaman hukuman korporal dalam persekitaran rumah tangga terbukti merupakan cara yang amat berkesan untuk mengubah sikap masyarakat.
Beliau berkata pengharaman itu, yang diperkenalkan melalui Kanun Keibubapaan pada 1979, digabungkan dengan sokongan serta khidmat kepada keluarga yang mempunyai anak untuk mengurangkan penggunaan hukuman secara fizikal.
“Perlu dijelaskan bahawa hujah yang disuarakan di Sweden sebelum pengharaman itu dilaksnakan, lebih kurang sama seperti yang dikemukakan di negara lain sekarang, yang hingga ke tahap tertentu, terbukti sebagai tidak tepat.
“Kes ibu bapa menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak sering berlaku di Sweden. Tetapi, apabila kes itu melibatkan seorang pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya seorang guru sekolah, ia mendapat publisiti meluas.
“Ini kerana ia melibatkan rakyat Malaysia dan orang ingin tahu kenapa diplomat itu dan isterinya tidak mematuhi undang-undang tempatan berkaitan kekerasan fizikal terhadap kanak-kanak,” katanya.
– BERNAMA
