Awang Selamat tidak sepatutnya “melepaskan” tanggungjawab MB Pahang

Awang Selamat tidak sepatutnya “melepaskan” tanggungjawab MB Pahang

Pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan adalah sikap kerajaan yang tidak peduli.

bauksit,pahang

Oleh T K Chua

Saya terjumpa satu artikel yang ditulis Awang Selamat dari Utusan yang cuba “melepaskan” MB Pahang daripada bencana perlombongan bauksit di negeri berkenaan. Menurut beliau, tangan MB mungkin terikat oleh pengaruh atau kuasa tertentu. Beliau menggesa rakyat supaya lebih memahami kerana tidak semua isu yang terlibat boleh didedahkan kepada orang ramai.

Mungkin apa yang dikatakan Awang Selamat itu benar. Terdapat kuasa atau pengaruh tertentu dimana kerajaan negeri mesti angguk dan menunjukkan hormat.

Akan tetapi pandangan sedemikian akan menimbulkan banyak soalan. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di Malaysia adalah berdasarkan perlembagaan. Kuasa eksekutif tertinggi di negeri adalah EXCO negeri yang diketuai oleh MB atau KM. Tanah dan perlombongan adalah di bawah bidang kuasa negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Terdapat agensi dan jabatan-jabatan yang ditubuhkan di setiap negeri untuk mengawal selia dan mentadbir tanah dan perlombongan.

Begitu juga terdapat kementerian dan agensi persekutuan yang ditubuhkan untuk mengawal pencemaran dan kemerosotan alam sekitar, kesihatan awam, permit eksport bahan perlombongan dan produk berbahaya dan sebagainya. Semua kementerian dan agensi-agensi persekutuan akhirnya melaporkan kepada Jemaah Menteri yang diketuai oleh PM yang merupakan kuasa eksekutif tertinggi di peringkat persekutuan.

Patutkah pihak berkuasa negeri dan persekutuan menunduk kepada pengaruh atau kuasa tertentu sepertimana yang disentuh oleh Awang Selamat? Bagi saya, perlombongan bauksit yang melanggari peraturan-peraturan atau yang menyalahi undang-undang boleh dihentikan di pelbagai peringkat – oleh kerajaan negeri melalui permit perlombongan dan peraturan penggunaan tanah dan oleh Kerajaan Persekutuan melalui permit eksport atau melalui peraturan alam sekitar dan kesihatan.

Pihak berkuasa tertinggi sepatutnya tidak perlu menunduk kepada mana-mana pihak selain daripada undang-undang yang sediada and perlembagaan negeri dan negara. Soalan pokok ialah sama ada perlombongan bauksit yang kini berlaku di Pahang melanggari undang-undang tertentu di negeri itu? Yang kedua, sekiranya pihak berkuasa negeri mengambil tindakan terhadap pelombong bauksit yang tak sah, adakah ia bertentangan dengan perlembagaan negeri? Rasa saya ini adalah soalan-soalan Awang Selamat harus menjawab.

Adalah tidak wajar pihak berkuasa negeri tertinggi menundukkan diri kepada pengaruh atau paksaan dari luar. Ini mencerminkan kerajaan yang tak bertulang atau kerajaan yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada orang ramai. Begitu juga pihak berkuasa persekutuan yang tidak mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan adalah sikap kerajaan yang tidak peduli.

T K Chua adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.