Tunku Azizah Maimunah Iskandariah berkata, pihak yang tidak mengikut prosedur perlombongan bauksit yang ditetapkan oleh kerajaan juga perlu ditangkap.
“Tangkap yang mengerjakannya secara haram… dan tidak mengikut prosedur dan juga semua yang terlibat,” tulisnya di Instagram.
Beliau juga memuat naik artikel Berita Harian yang bertajuk ‘Wanita antara tiga ditahan SPRM’.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, menahan tiga individu termasuk seorang wanita di sekitar Kuantan bagi membantu siasatan kes aduan rasuah kegiatan perlombongan bauksit.
Penahanan tiga individu itu dibuat 48 jam selepas SPRM menahan seorang pegawai kanan dan tiga kakitangan bahagian Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dipercayai menerima rasuah daripada pengusaha lombong bauksit haram.