Isu pramugari: Hormati hak pengamal semua agama

Isu pramugari: Hormati hak pengamal semua agama

Cabaran masa kini bagi pemerintah dan syarikat adalah merumuskan dasar-dasar yang menghormati hak semua orang.

yusmadi

PETALING JAYA:
Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, atau keturunan, maka dasar yang menafikan hak itu adalah bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Pengerusi RIGHTS Foundation, Yusmadi Yusoff berkata soal hak asasi manusia dan urus niaga harus digandingkan secara beriringan terutamanya di zaman ini.

“Sekiranya memakai hijab atau enggan menghidang alkohol itu menjadi amalan dalam beragama, maka pihak syarikat harus menghormatinya,” kata Yusmadi ketika dihubungi FMT.

Menegaskan pendirian untuk tidak berpihak, Yusmadi menjelaskan cabaran masa kini bagi pemerintah dan syarikat adalah merumuskan dasar-dasar yang menghormati hak semua orang.

“Paling utama ialah mencapai keseimbangan,” katanya, dan menambah semua hak adalah sama penting.

“Saya tidak percaya pada hak asasi manusia ‘Barat’ atau hak asasi manusia ‘Islamik’. Hanya hak asasi manusia,” tegasnya, dan menambah hak minoriti juga perlu dihormati.

Dalam hal itu, Yusmadi mengingatkan bahawa kemahuan untuk menghormati hak golongan tertentu tidak boleh menjejaskan hak golongan lain.

“Bukan maknanya alkohol tidak boleh dihidangkan dalam kapal (terbang), hak orang bukan Islam juga perlu dihormati,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan kakitangan Muslim MAB diberi kelonggaran berhijab dan menolak menghidangkan minuman keras untuk penumpang pesawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.