‘Raja report’ kena siasat polis

‘Raja report’ kena siasat polis

Dia yakin tidak bersalah kerana hanya menerima darjah kebesaran yang diberi secara percuma di samping fakta kes berbelit-belit

rani_polis_600

GOMBAK:
Aktivis selebriti yang terkenal kerana sering membuat laporan polis sejak lima tahun lalu, Abdul Rani Kulop Abdullah pula disiasat oleh polis selepas satu laporan dibuat terhadap dirinya.

Abdul Rani yang lebih dikenali dengan panggilan ayahanda menyatakan, dia disiasat bagi membantu siasatan berhubung penerimaan darjah kebesaran ‘Datuk Paduka Mahkota Melaka’.

“Polis datang berjumpa saya di Taman Sri Gombak bagi menyiasat penerimaan Darjah Paduka Mahkota Melaka yang dikurniakan oleh individu yang menggelarkan dirinya sebagai Sultan Melaka.

“Memang orang kata suatu hari nanti ayah akan terkena. Jadi inilah, dah kena dah. Tetapi ayah kena bersebab, atas fakta kes yang sangat berbelit-belit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai memberikan keterangan di Balai Polis Gombak.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu turut menegaskan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana menerima darjah kebesaran itu.

“Saya ambil orang bagi, bukan saya minta. Bukannya saya bayar pun. Salah ke saya ambil, kalau salah berilah yang tidak salah. Lima tahun saya berkecimpung dalam `report’ polis hingga saya digelar ‘king of report Malaysia’,” ujarnya.

Menggulas lanjut, dia tidak menyangka isu ini akan menjadi perbualan dan perbincangan hangat seluruh rakyat Malaysia.

“Saya tidak menyangka ramai yang berminat untuk mengetahui perkara sebenar. Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota polis yang didatangkan khas dari Melaka berjumpa untuk ambil kenyataan,” katanya.

Abdul Rani dibawa menaiki sebuah kereta peronda polis yang dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan dia diambil keterangan lebih dua jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.