
Melalui laman Facebooknya, dia mencadangkan agar pihak pengurusan Masjid Negara memperuntukkan sebahagian daripada kawasan Masjid untuk dijadikan tempat berteduh kepada golongan gelandangan, seperti apa yang dilakukan Masjid Jamek.
“Saya merayu agar pihak pengurusan membuka ruang anjung masjid kepada mereka. Itu sahaja yang saya minta. Hanya sedikit ruang atau tempat berteduh pada waktu malam, dan tidak sampai ke kawasan sembahyang,” katanya.
Dia mencadangkan agar kawasan ini dibuka bermula jam 11 malam hingga 5 pagi, iaitu di luar waktu lawatan pelancong.
Selain itu, Syed Azmi juga mengajukan beberapa perkara yang dapat menyelesaikan apa-apa masalah yang mungkin berbangkit apabila kawasan itu dibuka untuk golongan gelandangan.
“Mereka (pihak berkuasa) mengatakan ia akan menyebabkan masjid kotor. Saya tahu mereka ada tukang cuci. Jika begitu, bantulah mereka untuk jadi bersih. Mereka kata golongan ini mungkin akan mencuri, tetapi bukankah masjid ada pengawal keselamatan.
“Apabila golongan gelandangan ini ditanya mengapa ke Masjid Negara, ini kerana ia selamat, bukan?”
Beliau mendakwa walaupun masjid itu mampu memuatkan ratusan jemaah pada satu masa, golongan gelandangan masih memilih untuk berdiri di ruang terbuka di luar walaupun ketika hujan kerana tidak dialu-alukan.
“Saya tahu ada rumah ibadat lain yang menerima golongan yang memerlukan, tanpa banyak soal. Malah saya dapat tahu ada yang menyediakan perkhidmatan mencuci pakaian.
“Saya juga dengar ada tempat yang menyediakan tempat berteduh bagi perempuan, dan mereka boleh bekerja dan memiliki pendapatan untuk menjaga anak mereka,” katanya lagi.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, dan tindakan terbaru Azmi ini untuk membantu mereka yang memerlukan berjaya melalui rayuan terbuka itu.
‘Posting’ itu telah dikongsi hampir 2,000 pengguna lain. Hanya beberapa jam selepas ia dimuatnaik, Masjid Negara telah memberi maklumbalas di laman Facebook rasminya.
“Pihak kami telah pun menerima permohonan melalui emel dan kami bersetuju untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi membantu rakan-rakan gelandangan.
“Dalam maklum balas, Masjid Negara menyatakan kesudian dan akan mengatur pertemuan sedikit masa lagi,” tulis pengurusan Masjid Negara.