
Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyarankan perkahwinan penyelesaian terbaik membendung rogol statutori, Nizam berkata punca-punca kejadian rogol statutori perlu dikesalpasti terlebih dahulu sebelum mengumumkan perkahwinan ubat terbaik mengubati rogol statutori.
“Ia tidak boleh dijadikan kebiasaan. Dari segi dasar, sewajarnya kita mengalakkan anak-anak mengejar ilmu dan memanfaat semua kesempatan yang ditawarkan oleh dunia hari ini untuk berjaya.
“Tanggungjawab utama ibu-bapa adalah mendidik dan membesarkan anak-anak menjadi berani mengejar cita-cita.” Nizam turut menyorot perhatian kepada konflik yang wujud antara peruntukan-peruntukan berkenaan statutori.
“Ia merupakan kesalahan dibawah Kanun Keseksaan tetapi Enakmen Jenayah nampaknya membenarkan seseorang itu berkahwin dengan individu bawah umur. Percanggahan ini perlu diberi perhatian semasa mempertimbangkan isu ini,” katanya.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1987 secara khusus menyatakan “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”
Ketika ditanya pandangan peribadi berkenaan isu ini, Nizam berkata unsur cinta juga harus diambil-kira dalam kes-kes seperti itu.
“Insan jatuh cinta. Maka atas sebab itu, tidak wajar sekiranya kita mengambil pandangan pemutlak dalam meneliti isu pernikahan budak ini. Namun begitu, ia tidak boleh dijadikan kebiasaan,” katanya.