
Wanita berusia 40 tahun itu datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu dan juruteknik selam skuba dan akhirnya bertukar kerjaya menjadi pengasuh warga emas.
Malangnya, sebaik perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa, Michelle kehilangan pekerjaan. Dia memutuskan untuk berpindah dari Kuala Lumpur ke Port Dickson untuk bersama tunangnya, Emil Joseph.
Mereka berdua kemudiannya memulakan perniagaan makanan dan penghantaran dari rumah.
“Kami mengkhusus dalam penjualan BBQ babi hutan dan nasi goreng. Michelle sebagai tukang masak dan saya melakukan kerja penghantaran,” jelas Emil kepada FMT.
Namun pada bulan Jun, Michelle menemui benjolan berukuran duit syiling 10 sen di payudara kanannya.

Walau pada mulanya dia tidak bimbang, Michelle memutuskan bahawa perkara terbaik adalah untuk memeriksanya.
Selepas ke klinik tempatan, dia diberi antibiotik dengan harapan ia hanya membengkak dan akan susut.
Namun, dalam masa beberapa hari saja benjolan di payudaranya mula membesar dengan cepat. Bimbang dengan perkembangan itu, Emil sedar dia perlu membawa tunangnya menjalani ujian lebih lanjut.
Sebagai warga asing, sukar bagi Michelle untuk dirawat di hospital kerajaan. Mereka bagaimanapun mencuba nasib dan hanya diberi temu janji dalam masa tiga bulan lagi.
“Hanya dalam masa beberapa minggu saja, benjolan itu tumbuh hampir menyamai ukuran tapak tangan saya dan saya tahu kami tidak boleh menunggu sehingga September,” jelas Emil menyatakan keprihatinannya.
Dia berjaya mendapatkan temu janji di hospital bersalin China di Seremban.
“Mereka melakukan mamogram, CT scan, ultrasound dan biopsi, lalu mendapati benjolan itu sebenarnya adalah barah,” keluh Emil ketika memberitahu FMT.
“Ia membesar dengan pantas dan sangat agresif, namun tidak banyak yang dapat dilakukan oleh hospital itu jadi mereka merujuk kami ke Hospital Pantai,” jelas Emil.
Selepas itu timbul masalah lain pula kerana mereka hanya dapat membuat temujanji seterusnya dalam masa dua minggu.

Risau akan keadaan kesihatan tunangnya, Emil bertekad untuk mendapatkan diagnosis rawatan secepat mungkin.
“Saya masuk ke Facebook dan mula menyertai kumpulan sokongan barah dan mula bertanya adakah pihak tertentu yang dapat membantu dan syukurlah, kami berjaya mendapatkan temu janji di Beacon Hospital pada keesokan hari,” jelasnya.
Ketika di Hospital Beacon, doktor melakukan imbasan PET dan ujian makmal lebih maju serta mendiagnosis Michelle.
“Kami diberitahu bahawa dia menghidap limfoma Burkitt tahap 4 yang merupakan bentuk limfoma bukan Hodgkin,” terang Emil dalam nada sedih.
Tambahnya jenis limfoma ini jarang berlaku dan biasanya bermula di leher, namun bagi Michelle ia sudahpun merebak ke payudara, bermula dari sebelah kanan dan kemudian perlahan-lahan ke kiri.
Oleh kerana barah yang dihidapi Michelle merebak dengan pantas, mereka disarankan untuk melakukan rawatan steroid terlebih dahulu dengan harapan dapat mengurangkan saiz tumornya.
Malangnya, rawatan itu tidak mengecilkan ukuran ketumbuhannya sebaliknya ia terus membesar dengan pantas sehingga membentuk luka dan lepuh.
Mereka kemudian dinasihatkan untuk segera memulai kemoterapi.

“Kos kemoterapi, pembedahan dan selepas rawatan terlalu tinggi di Hospital Beacon dan kami perlu mencari tempat lain untuk melakukannya,” kata Emil.
Dia menjelaskan turut masuk ke dalam talian untuk mencari rawatan tempatan, tetapi mereka tidak menerima orang asing buat masa itu.
“Saya juga menghubungi Institut Kanser Negara, tetapi mereka tidak menerima orang asing kerana perintah kawalan pergerakan,” jelasnya.
Keadaan Michelle bertambah parah. “Bahagian kiri wajahnya membengkak sebesar sebiji epal dan menyebabkan Bell’s Palsy.
Jelas Emil akibat barahnya itu, Michelle menghadapi masalah untuk bercakap dan hampir tidak dapat bercakap selama tiga minggu.
Emil tidak pernah menyerah kalah dan terus menghubungi pelbagai pihak untuk memastikan tunangnya mendapat rawatan yang diperlukan.

Setelah pelbagai usaha dibuat mereka akhirnya dirujuk ke Hospital Tung Shin.
Emil menjelaskan keadaan tunangnya kepada ahli onkologi dan juga keadaan kewangan mereka.
Difahamkan Michelle memerlukan sekurang-kurangnya enam sesi kemoterapi dengan setiap sesi berharga 15,000 dan akhirnya akan memerlukan pembedahan setelah ketumbuhan itu mencapai ukuran yang selamat untuk dibedah.
“Jumlah kos sesi kemoterapi, pembedahan dan selepas rawatan Michelle akan mencecah RM150,000,” jelas Emil dan walaupun jumlah ini besar, mereka diberitahu bahawa setiap sesi boleh diselesaikan secara individu.
“Saya bekerja sangat keras untuk mengumpulkan wang itu dan turut menyebarkan berita ini di media sosial dengan harapan mendapat sumbangan yang mampu mengurangkan beban kami,” luah Emil berkongsi perjuangannya dengan FMT.
Setakat ini Emil mampu membayar satu daripada sesi kemoterapi Michelle.

“Walaupun dia mengalami beberapa kesan sampingan akibat rawatan tersebut dan hilang berat badan sekitar 6 kilogram, kami sangat bersyukur kerana hanya dengan satu sesi saja kami dapat melihat perkembangan dan penyusutan saiz tumornya,” ungkap Emil.
“Michelle perlu dimasukkan ke terapi imun beberapa hari setelah sesi kemoterapi kerana jumlah sel darah putihnya rendah,” tambahnya.
Malangnya, akibat SOP, Emil tidak dapat mengunjungi Michelle di hospital tetapi dia terus memasak makanan dan menghantarnya sambil meneruskan komitmen kerja.
Emil terus berdoa agar tunangnya sembuh sambil melakukan segala yang terdaya untuk memastikan dia mampu mengharunginya.
“Kami sangat menghargai sebarang bentuk bantuan untuk mengumpulkan wang bagi membayar kos rawatan Michelle,” kata Emil.
Sekiranya anda ingin menderma untuk membantu membayar kos perubatan Michelle, sumbangan boleh dibuat kepada Emil Joseph, di nombor akaun CIMB 7024770861 atau anda boleh menghubunginya terus di talian 010-2315315.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]