‘Murukku Uncle’ SS15 terharu insan berhati mulia lancar kempen kumpul dana

‘Murukku Uncle’ SS15 terharu insan berhati mulia lancar kempen kumpul dana

Dua insan berjiwa mulia memulakan kempen membantu Alagappan Karuppiah, yang cukup terkenal sebagai "Murukku Uncle" SS15, untuk membantunya dan keluarga di India.

Alagappan Karuppiah yang lebih terkenal dengan nama ‘Murukku Uncle’ telah menjual murukku di SS15, Subang Jaya selama 10 tahun. (Gambar Nicole Vijayakumar)
PETALING JAYA:
Tersentuh dengan kisah Alagappan Karuppiah, dua insan berjiwa mulia, Liren Cellvam dan Nicole Vijayakumar, mengambil keputusan untuk memulakan kempen mengumpul dana bagi membantu Alagappan pulang ke India.

Alagappan telah menjual murukku di SS15 selama 10 tahun dan dikenali ramai sebagai ‘Murukku Uncle’. Alagappan, terpaksa meninggalkan keluarganya di Trichy, India untuk bekerja di Malaysia.

Di India, lelaki berusia 45 tahun itu bekerja sebagai petani, namun ia tidak mencukupi untuk menyara keluarganya.

Dengan harapan dapat menjana lebih pendapatan, Alagappan datang ke sini dan sejak itu menjadikan jualan murukku sebagai sumber pendapatan untuk dihantar kepada keluarganya di kampung.

Gerai rojak dan cendol di SS15 memang sudah tidak asing lagi dengan pengunjung yang sanggup beratur panjang.

Malangnya, sebaik gerai terkenal itu berpindah ke lokasi baharu Alagappan tidak mampu membayar sewa dan terpaksa berniaga di jalanan.

“Saya biasa menjual murukku di gerai rojak dan cendol di SS15 tapi apabila mereka berpindah, saya tidak mampu membayar sewa di lokasi baru dan mula menjual murukku dengan bakul di sepanjang jalan SS15,” cerita Alagappan kepada FMT.

Alagappan mempunyai seorang isteri dan dua anak di India. “Anak lelaki saya berumur 18 tahun dan anak perempuan berumur 8 tahun,” katanya.

Walaupun dia sedih kerana tidak dapat pulang ke India untuk bersama isteri dan melihat anak-anaknya membesar, namun dia gembira kerana dapat mengirim wang setiap bulan untuk menyara dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

Senasib dengan ramai peniaga lain, perniagaan Alagappan turut terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Sebelum wabak menular, saya biasanya menjual sekitar 100 paket sehari tetapi kini saya hanya menjual sekitar 30 paket jika hari baik,” jelas Alagappan yang berkongsi bagaimana jualannya menurun lebih separuh sejak wabak ini melanda.

Alagappan berharap dapat terus bekerja di Malaysia untuk menyara keluarganya kerana dia masih tidak mempunyai cukup wang untuk dibawa pulang sekarang. (Gambar Nicole Vijayakumar)

Setiap paket murukku berharga RM2 dan Alagappan menyasarkan untuk menjual sebanyak mungkin dalam sehari walaupun ia bermakna terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di bawah terik matahari.

Meskipun keletihan, Alagappan bertekad memastikan ia mencukupi untuk bertahan.

“Ia sangat meletihkan, tetapi hidup perlu diteruskan. Saya menghabiskan masa berjam-jam setiap hari untuk berjalan dan menjual murukku,” ujarnya.

Pada mulanya Alagappan merancang untuk pulang tahun depan dan meneruskan kerjanya sebagai petani. Namun, apabila isterinya dijangkiti Covid-19 tahun ini, Alagappan terpaksa menghabiskan simpanan untuk merawat isterinya.

“Isteri saya dirawat di sebuah hospital di Trichy dan bil hospitalnya mencecah RM18,000,” keluhnya memberitahu FMT.

Mujur Alagappan dapat menyelesaikan bil hospital isteri. Namun akibatnya, dia terpaksa menggunakan wang yang telah disimpan untuk dibawa pulang.

Sudah tiga tahun Alagappan tidak pulang menjenguk keluarga dan walaupun sangat rindu untuk bertemu mereka, dia sedar perkara terbaik buat keluarganya adalah untuk kekal di sini dan mendapatkan wang untuk menyara mereka.

“Saya mahu pulang ke kampung tetapi saya perlu kekal di sini dan berjimat-cermat sebelum dapat pulang. Saya tidak punya cukup wang untuk dibawa pulang sekarang,” katanya sedih.

Liren dan Nicole memulakan kempen dengan harapan dapat mengumpulkan dana bagi membantu Alagappan dan keluarganya di India. (Gambar Nicole Vijayakumar)

“Kisahnya terus bermain di fikiran dan kami memutuskan untuk melakukan sesuatu. Kami akan melancarkan kempen untuk mengumpulkan dana buat Alagappan hingga 8 September ini,” jelas Nicole.

“Semua wang yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Alagappan agar dia dapat menabung dan mengirim wang kepada keluarganya,” tambahnya.

Jelas Nicole lagi, dia mengenali Algappan sejak di universiti lagi dan dianggapnya seorang yang sentiasa ramah dan ceria malah kaya dengan senyuman walaupun penat bekerja.

“Saya menggunakan media sosial untuk berkongsi kisah Alagappan dan cuba mendapatkan bantuan orang ramai,” ujarnya.

Nicole turut berkongsi kisah Alagappan di akaun Instagram miliknya untuk memastikan orang ramai sentiasa mendapat maklumat terkini.

Anda boleh menyertai kempen mereka untuk membantu Alagappan dan keluarganya dengan menyumbang kepada:

No akaun: 162405230018
Bank: Maybank Berhad
Nama: Nicole Vijayakumar

“Kami mungkin tidak dapat melakukan banyak tetapi kami berharap ia bukan saja dapat meringankan bebannya tetapi juga membawa senyuman ke wajahnya,” kata Liren.

Sekiranya anda kebetulan berada di SS15, carilah lelaki hebat dengan bakul yang penuh dengan makanan ringan ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.