Andy Hor pecah ‘stereotaip’ industri penjagaan warga emas

Andy Hor pecah ‘stereotaip’ industri penjagaan warga emas

Homage Malaysia berkata, biarpun 87% kakitangannya adalah wanita terdapat peningkatan permintaan terhadap kaum lelaki dalam industri ini.

Andy Hor telah berkecimpung sebagai profesional penjagaan lelaki sejak dua tahun lalu. (Homage Malaysia pic)
PETALING JAYA:
Pandemik Covid-19 telah mengakibatkan permintaan yang lebih tinggi terhadap tenaga kerja penjagaan warga emas, memandangkan kumpulan ini adalah mereka yang berisiko tinggi.

Selain itu mereka juga kini hidup bersendirian setelah terpisah dari keluarga susulan sekatan perjalanan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Umum mengetahui, perkhidmatan penjagaan lazimnya didominasi kaum wanita. Namun, menurut pengendali perkhidmatan Homage Malaysia, biarpun 87% kakitangannya adalah wanita, sehingga April tahun ini terdapat peningkatan permintaan terhadap kaum lelaki dalam industri ini.

Ini memberi indikasi bahawa jurang jantina antara keduanya dalam industri ini telah dikurangkan.

Kaum lelaki seperti Andy Hor, antara yang telah memecahkan “stereotaip” ini.

Sudah dua tahun lelaki berusia 50 tahun ini berkhidmat dalam industri perkhidmatan penjagaan. Jejaknya bermula selepas mengambil alih tugas untuk merawat dan menjaga ibunya yang sakit.

Tanggungjawab itu kini beliau teruskan untuk menyediakan perkhidmatan kepada komuniti.

“Saya mahu belajar bagaimana caranya untuk menjaga warga emas dengan betul memandangkan ibu saya sudah berusia 90 tahun,” beliau memberitahu FMT sambil menegaskan adalah menjadi tanggungjawab sebagai anak lelaki untuk menjaga orang tuanya sendiri.

Pada awalnya, Hor merancang untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan sebagai pekerjaan separuh masa memandangkan pada masa yang sama beliau juga menjalankan perniagaan dalam talian. Namun, kini Hor meluangkan sehingga 7 hari seminggu bagi membantu mereka yang memerlukan perkhidmatannya.

Beliau percaya isu gender adalah tidak relevan apabila berbicara mengenai perkhidmatan penjagaan – biarpun pekerjaan itu kadang-kala melibatkan sentuhan fizikal.

“Berat saya ialah 80kg dan saya amat aktif dalam sukan dan seni mempertahankan diri. Namun kadang-kala saya juga berdepan kesukaran untuk mengangkat pelanggan saya,” kongsi beliau.

Sambil ketawa, beliau mengakui berdepan kesukaran ketika disuruh memasak oleh pelanggan, memandangkan beliau bukanlah seorang yang pakar di dapur.

Bagaimanapun, beliau berkata hubungan antara pelanggan dan penjaga adalah hubungan yang istimewa. Hor berkata beliau sering tersentuh apabila dialu-alukan oleh keluarga pelanggannya.

“Saya ada seorang pelanggan yang saya jumpa 6 kali seminggu selama 4 jam setiap sesi.
Keluarganya sangat baik. Mereka sering menyediakan kopi dan makanan tengah hari buat saya. Mereka layan saya seperti keluarga sendiri. Itu perasaan yang sukar digambarkan”.

Hor turut berkongsi pengalamannya dengan seorang lagi pelanggan yang isterinya tidak boleh berbahasa Inggeris sama sekali.

“Biarpun tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik, beliau tetap akan menyediakan secawan kopi untuk saya dan memastikan saya merasa selesa. Kadang-kadang beliau juga menyiapkan sarapan untuk saya,” jelas Hor.

Hor berkata seperti kebanyakan orang, beliau juga sebelum ini tidak pernah terlintas untuk menjadi seorang penjaga. Malah beliau tidak pernah tahu bahawa kerjaya seperti ini wujud.

Beliau menyeru kaum lelaki untuk tidak bersikap stereotaip terhadap kerjaya ini dan cuba membabitkan diri dalam industri perkhidmatan penjagaan ini.

“Ia adalah satu kerjaya yang mulia, namun kita mestilah mempunyai kemahuan dan hati untuk menjaga warga emas,” tambah beliau.

“Perasaan selepas melihat kegembiraan terpancar di wajah mereka, tidak ternilai dan tidak dapat dibayar dengan wang”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.