Warisan Peranakan dihidupkan menerusi lukisan

Warisan Peranakan dihidupkan menerusi lukisan

Artis berusia 51 tahun, Gaik Hoon berharap dapat mendidik generasi muda mengenai kekayaan warisan budaya Peranakan melalui lukisannya.

Gaik Hoon dengan siri lukisan Budaya Peranakan sentuhannya. (Gambar Tan Gaik Hoon)
PETALING JAYA:
Walaupun Tan Gaik Hoon, anak kelahiran Perak ini bukan berketurunan Peranakan, namun agak mudah telahan itu dibuat berdasarkan lukisan akriliknya yang cukup kompleks, menggambarkan kekayaan warisan budaya Peranakan.

Sebelum berkecimpung dalam lukisan Peranakan, karya Gaik Hoon lazimnya berlatarkan wanita Melayu dalam suasana desa. Tetapi semuanya berubah apabila dia kembali mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, membantu ibu membuat pelbagai kuih Nyonya beraneka warna.

“Mendiang ibu saya adalah pembuat kuih Nyonya dan sejak kecil, saya akan menghabiskan masa lapang membantunya membuat pelbagai jenis kuih Nyonya – kuih angku, kuih koci, ladu beras pulut Peranakan, kuih keladi kukus dan kuih talam. ”

Lukisan Gaik Hoon berjudul ‘Making Angku Kuih’ dalam siri ‘Daily Life’. (Gambar Tan Gaik Hoon)

“Bukan saja ibu, jiran juga akan membuat pelbagai jenis makanan Nyonya yang enak seperti kuih dan rempah udang, jadi ia memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan siri lukisan kuih Nyonya,” jelas artis berusia 51 tahun itu.

Karyanya tidak hanya berhenti di situ. Dia mula menerokai sisi budaya kaum Peranakan dan mula menggunakan alatan Peranakan seperti mangkuk Peranakan yang asli sebagai sebahagian subjek lukisannya.

Gaik Hoon bukan sekadar melukis berpandukan ingatannya, dia juga sanggup berhabis-habisan mencipta semula suasana sebenar kehidupan seorang Nyonya.

Dia akan memakai kebaya sulam dan sarung yang indah bersama dengan alatan peranakan yang lain sebelum meminta bantuan suami untuk mengambil gambar dengan pencahayaan yang sangat baik, sebagai rujukan visual untuk lukisannya.

Gaik Hoon sedang menyiapkan lukisan siri Nyonya. (Gambar Tan Gaik Hoon)

“Saya juga menggunakan anak perempuan saya sebagai model. Dia yang juga pengumpul karya saya sangat gembira bila saya gunakan dia sebagai model dalam lukisan saya,” ujar bekas guru seni itu.

Sehingga kini, dia tidak pernah jemu mendalami ilmu mengenai budaya Peranakan, sambil menjelaskan bahawa setiap perincian dalam lukisan itu perlu tepat, terutama pada pandangan orang Peranakan.

Sekiranya anda biasa dengan karyanya, anda tidak akan terkejut melihat penjelasan terperinci setiap peralatan yang digunakan dalam lukisannya; kuih angku bermaksud panjang umur, kuih huat mewakili kekayaan, sepasang burung melambangkan matahari, hasil tuaian, kesuburan, mawar mewakili kasih sayang di dalam keluarga dan teratai dalam lukisan itu adalah simbol kesucian dan kesempurnaan.

Gaik Hoon sedang menyiapkan siri lukisan budaya Peranakan. (Gambar Tan Gaik Hoon)

“Penjelasan ini bukan saja membantu menerangkan maksud mengapa saya memasukkan setiap peralatan di dalam lukisan tetapi juga untuk mendidik generasi muda mengenai tradisi warisan Nyonya,” jelasnya.

Gaya seninya cenderung menggunakan warna-warna yang cerah, yang mana Gaik Hoon berharap tona ini akan dapat memberikan keselesaan kepada khalayak dan juga mengembalikan rasa seronok ketika pulang ke rumah untuk bertemu orang tersayang dan ahli keluarga.

Pun begitu, seorang artis yang berpengalaman sepertinya masih merasa sukar untuk mendapatkan perincian alatan peranakan yang paling sempurna.

Pasu yang cukup sukar untuk dilukis Gaik Hoon. (Gambar Tan Gaik Hoon)

“Barang paling sukar yang pernah saya lukis adalah sebuah pasu besar kerana pembuatannya yang kompleks. Setiap rekaan kecil pada pasu itu sangat unik dan kecil!” katanya sambil tersenyum.

Tambahnya lukisan yang lebih kecil memerlukannya kira-kira seminggu untuk diselesaikan tetapi yang lebih besar mengambl masa sebulan atau lebih dan ia bergantung kepada jumlah butiran yang kompleks.

“Suami saya Lee Weng Fatt, juga seorang seniman, terkenal dengan ilustrasi bangunan bersejarahnya yang indah. Dia sangat menyokong dan mengurus segala-galanya dari membantu saya dengan kanvas baharu sehinggalah kepada menemani saya ketika menyampaikan lukisan kepada pelanggan,” kata Gaik Hoon, sambil menambah pasangan dinamik itu tidak pernah gagal melukis setiap hari.

Sebagai ahli Persatuan Pelukis Cat Air Malaysia, karya Gaik Hoon pernah dipamerkan di galeri awam dan swasta di sekitar Malaysia serta negara-negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat.

Gaik Hoon di studio di rumahnya. (Gambar Tan Gaik Hoon)

Karyanya juga pernah sampai ke Seoul, Korea Selatan di mana ia dipamerkan di ‘22nd Korea New Art Festival’.

Selain itu dia juga merupakan pemenang hadiah saguhati Pertandingan pada 1993 yang dianjurkan oleh Kontena Nasional dan Galeri Shah Alam di mana karya-karyanya telah diterima sebagai sebahagian daripada koleksi di Eropah dan beberapa negara lain.

Untuk melihat lebih banyak karya budaya Peranakan sentuhan Gaik Hoon, singgahlah ke laman Facebook di sini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.