
“Mesej Islam harus ditafsir semula sebagai kod untuk kemanusiaan”, tulis Asma Lamrabet.
Kemanusiaan kita sedang diuji oleh kejadian-kejadian tragis yang telah menggoncang dunia kebelakangan ini, termasuk serangan terbaru di Paris. Dan kita harus mengakui – sebagai Muslim- adalah berganda lebih mencabar. Ia amat sukar bagi umat Islam untuk tidak rasa kecewa dengan perbuatan kejam ini. Sudah pasti mereka melakukannya atas nama ideologi yang jelas bertentangan dengan moral dalam Islam, ditambah pula dakwaan agama atas perbuatan tersebut amatlah menyakitkan bagi majoriti umat Islam.
Apabila kita cuba untuk menganalisis peristiwa-persitiwa ini, fenomena radikalisasi muncul sebagai produk – di samping yang lain – daripada empat(4) kelemahan dalam dunia hari ini:
- Kepincangan undang-undang antarabangsa dan kesan buruk daripadanya, termasuk kegagalan berterusan untuk menangani isu Palestin, serta peperangan di Iraq dan Syria yang mengundang kekacauan ekstremisme global yang menyelubungi Timur Tengah;
- Kepincangan keadilan dalam ekonomi neo-liberal, sebagai punca ketidakstabilan sosioekonomi dan keterpinggiran di Utara dan Selatan;
- Kelemahan proses demokrasi kalangan rejim Arab, dengan pengecualian relatif Maghribi dan Tunisia, ditambah pula dengan peningkatan ketegangan mazhab dan autoritarianisme berikutan kebangkitan Arab;
- Defisit dalam pemikiran Islam dan isu ‘tiada pembaharuan’ dalam agama.
Pemikiran Islam yang tiada pembaharuan
Memang benar bahawa kita tidak boleh dengan mudah mengecilkan isu radikalisasi kepada dimensi agama sahaja. Puncanya kompleks tetapi di sana masih ada satu titik yang merentasi semua isu ini: hubungan antara dunia Muslim dan naratif agamanya. Ini kerana ia terkandung dalam tafsiran dan pelaksanaan agama.
Berdepan dengan peningkatan eksploitasi agama yang berbahaya ini, ia adalah perlu supaya bersetuju terhadap keperluan mendesak untuk kritikan dalaman (self-criticism) dan pembaharuan agama. Namun masalah utama dalam dunia Islam adalah penolakan kajian pembaharuan dalam tradisi Islam dan tiada lawan balas naratif (counter-narative) kepada naratif retorik agama yang radikal.
Tradisi Muslim klasik yang kaya dengan kepelbagaian telah secara beransur-ansur terhakis dan memihak kepada monolitik, tafsiran esktremis yang literal menggalakkan naratif perpecahan dahsyat ‘them and us’ atau ‘unbelievers and Muslims’. Ini akan membiasakan kebencian atas masyarakat moden secara umum dan masyarakat Barat secara khususnya.
Walaupun majoriti pemimpin Muslim menentang keganasan, namun kelemahan mereka untuk bertegas dan sikap berdiam diri, secara tersirat menghalalkan wacana pelampau dan ektremis di luar sana.
Usaha ke arah pembaharuan pemikiran Islam sering dipandang serong. Hakikatnya wacana pembaharuan ini membuka pintu kepada teologi tulen pembebasan yang akan mengancam ideology-ideologi autoritarian.
Kini kita tidak boleh lagi bersembunyi di belakang puak reaktionari, naratif yang apologetik atau teori konspirasi. Ia perlu diakui bahawa wacana ekstrem ini mendapat bahan mentah daripada naratif Islam literal yang berakar dalam ilmu agama lapuk yang dilihat sebagai suci.
Apakah alternatif?
Memandangkan kerumitan isu radikalisme dan naratif agama yang melingkarinya, kesedaran global mesti dibangkitkan mengenai keperluan mendesak untuk pembaharuan dan reformasi. Kefahaman agama yang kritis ini mesti berkait rapat dengan pengamalan peraturan demoktarik yang menawarkan ruang kebebasan berfikir dan bersuara.
Penghujung ini, ditegaskan naratif ekstrem perlu diruntuhkan demi naratif alternatif Islam yang bersifat reformis, kontekstual dan bermoral. Dalam erti kata lain, Islam yang progresif, mengetengahkan nilai-nilai teras mesej kerohanian, kebebasan insani, kesaksamaan, kebebasan kepercayaan, keadilan dan kepentingan terhadap nilai seperti berfikir, kasih-sayang, keamanan sejagat serta saling menghormati. Dalam bahasa lain, penafsiran semula teks sebagai kod etika kemanusiaan sejagat seperti yang terkandung dalam Al-Quran: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Qur’an 21: 107).
Ia kini menjadi perkara yang perlu disegerakan, atas nama kemanusiaan Islam untuk memerangi pemikiran yang menyumbang kepada radikalisme. Ia adalah perisai bersama terhadap usaha menyahkemanusiaan yang dibentuk oleh ekstremisme ini, tanpa mengira dari mana asalnya.
Artikel terjemahan yang bertajuk asal ‘How to defeat radicalism’ ini adalah tulisan Asma Lamrabet dalam ‘The World Today’ keluaran April & May 2016. Beliau seorang doktor perubatan dan Pengarah Pusat Kajian Wanita dalam Islam di Rabat, Maghribi. #Musawah Advocate. Penterjemah adalah pelajar di Universiti Islam Antabangsa Malaysia, Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dan Sains Kemanusiaan.