
Naib Presiden Muda Leben Siddarth, berkata parti dalam IPR bukanlah ‘kuda trojan’ memandangkan IPR berfungsi sebagai platform kerjasama merentasi ideologi dalam isu berkepentingan awam.
“Ia mengukuhkan penyertaan demokratik, bukannya melemahkan,” katanya kepada FMT.
“Ia wujud secara bebas dengan tujuan khusus: untuk mendesak reformasi dan penyelesaian isu yang memberi kesan kepada rakyat.
“Ini bukan muslihat politik. Muda akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja – kerajaan mahupun pembangkang – asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat.”
Leben berkata, IPR tidak pernah bertujuan untuk diserap dalam mana-mana gabungan sedia ada.
“Ia menjurus penglibatan di luar pakatan tetap, sekali gus membolehkan kerjasama dengan kumpulan, masyarakat sivil, dan parti yang mungkin tidak berada dalam PN, namun berkongsi matlamat sama dalam isu tertentu,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Lumut Nordin Ahmad Ismail, mendakwa rangka kerja longgar IPR itu boleh digunakan untuk menimbulkan isu baharu serta melemahkan PN.
Nordin, yang pro kepada bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata beliau menjangkakan tekanan dalaman dalam Bersatu akan mendesak PAS, yang kini mempengerusikan PN, menerima parti berkaitan IPR yang mempunyai ideologi berbeza.
Beliau menyebut parti seperti Urimai dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP) yang masing-masing dipimpin oleh P Ramasamy dan P Waytha Moorthy, sambil menyifatkan mereka sebagai ‘kuda trojan’ yang akan terus ‘mencipta masalah sehingga matlamat agar PN lemah dan berpecah tercapai’.
Ramasamy berkata, parti terkait IPR seperti Urimai dan MAP tidaklah ‘terdesak’ untuk menyertai PN, sambil merujuk kepada perbezaan ideologi antara mereka.
“Selagi PAS meneruskan pendiriannya yang tidak bertolak ansur terhadap hak orang bukan Melayu, sukar bagi sesetengah parti komponen IPR untuk berkompromi dengan PAS,” katanya dalam kenyataan.
Namun, beliau berkata Urimai berhasrat kekal dalam IPR bagi menyokong objektif politik di bawah kepimpinan diterajui Muhyiddin Yassin.
IPR, dilancarkan Oktober tahun lalu, menggabungkan pemimpin daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, MAP, Parti Perikatan India Muslim Nasional, dan Urimai.
Sebelum ini, Muhyiddin mencadangkan agar IPR digabungkan dalam PN atau kedua-dua entiti itu membentuk pakatan pilihan raya bagi PRU akan datang.
Bagaimanapun, wakil PAS tidak hadir pada dua mesyuarat IPR baru-baru ini, iaitu mesyuarat dipengerusikan Muhyiddin pada Januari dan satu lagi oleh Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, awal bulan ini.