
Sang politikus kita bijak berkata-kata tanpa berkata-kata. Kadangkala mereka lebih suka guna hanya satu perkataan atau ungkapan. ‘Which says nothing and open to interpretation’.
Ambil perang dalaman Bersatu yang masih memanas sebagai contoh. Pihak yang bersengketa merasa afdal untuk mengunjungi Presiden PAS Hadi Awang. Mungkin mahu Hadi jadi orang tengah. Mediator gamaknya. Mungkin mahu dapat sokongan Hadi atau ‘endorsement’ beliau.
“Semua pihak jumpa saya. Pihak Hamzah jumpa, pihak Muhyiddin pun jumpa. Semua mari jumpa saya belaka,” kata Hadi dipetik media 20 Feb lalu.
Hamzah kita tahu merujuk Hamzah Zainudin yang sudah dipecat Bersatu. Muhyiddin tentulah Muhyiddin Yassin presiden Bersatu yang pecat Hamzah.
Apa yang berlaku semasa pihak Hamzah dan pihak Muhyiddin bertemu Hadi? “Pada perjumpaan itu masing-masing ada hujah masing-masinglah. Saya dengar belaka kedua-dua pihak. Kita nak selesaikan masalah dibangkitkan.” Itu kata Hadi. Apa pula kata kem Hamzah dan kem Muhyiddin?
Imbau 13 Feb lalu, hari Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan Hamzah. Hari yang sama Hamzah berkongsi gambar di Facebook menunjukkan beliau dengan Hadi.
Dalam gambar ada juga penyokong Hamzah iaitu Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah. Hadir sama Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. Mengiringi gambar kapsyen: “Alhamdulillah. Minum-minum teh di Rusila.” Kita tahu kediaman Hadi di Rusila Terengganu. Kata Hamzah lagi: “Allah SWT adalah sebaik-baik perancang.” Itu sahaja.
Ini bagi saya ‘is saying without actually saying’. Guna hanya satu lafaz: Alhamdulillah. Umum tahu Alhamdulillah ialah ungkapan bahasa Arab yang bermaksud ‘segala puji bagi Allah’ atau ‘terima kasih kepada Allah’. Ia merupakan lafaz syukur, pengiktirafahan dan pujian kepada Allah atas segala nikmat, rahmat dan kebaikan yang diberikan.
Jadi, apa yang diperoleh Hamzah semasa minum petang dengan Hadi lantas beliau ucap ‘Alhamdulillah’? Logiknya tentu ada yang bagus lalu beliau bersyukur kepada Allah. Tak begitu?
Namun, beberapa hari kemudian Radzi Jidin, naib presiden Bersatu yang masih setia dengan Muhyiddin mengunjungi Hadi. Juga di Rusila. Gambar beliau bertemu Hadi turut dimuatkan di Facebook dengan kapsyen ‘Alhamdulillah’. Itu sahaja. Apa hasil pertemuan itu sehingga Radzi ucap Alhamdulillah? Sesuatu yang menggembirakan?
Hadir juga pada pertemuan itu, Takiyuddin, Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman yang juga setiausaha politik Hadi serta Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris.
Baru-baru ini giliran Razali memaparkan foto di Facebook selepas pertemuan dengan Muhyiddin pula. Kapsyen berbunyi ‘Alhamdulillah done’. Apa yang ‘done’? Apa yang beres sampai Razali ucap Alhamdulillah? Hasil gembira? Apa yang disyukuri?
Berbalik cerita Hadi tadi mengenai pertemuan beliau dengan pihak Hamzah dan pihak Muhyididn. Beliau bercakap mengenai masalah dibangitkan.
Adakah ‘masalah dibangkitkan’ yang Hadi kata seperti dilapor media 20 Feb lalu akan selesai berikutan mesyuarat PAS pusat dan mesyuarat luar biasa Perikatan National? Kedua-dua mesyuarat dijadual hari ini di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Saya petik artikel FMT oleh Amin Ishak siaran Jumaat lalu. Menurut artikel itu Takiyuddin kali ini selaku timbalan setiausaha agung PN mengesahkan agenda utama mesyuarat hari ini ialah memilih pengerusi yang jawatannya kosong sejak 1 Jan lalu. Kosong kerana Muhyiddin melepaskannya.
Takiyuddin mendakwa parti komponen Gerakan dan MIPP bersetuju PAS menerajui PN – menggantikan Muhyiddin. Maksudnya mesyuarat hari ini sekadar mengegesahkan pelantikan pengerusi PN kerana tiada lagi bantahan.
Bagaimanapun, kedudukan Hamzah tidak dijelaskan sehingga kini. Pun begitu yang jelas ‘Alhamdulillah’ akan diucapankan oleh pihak yang puas hati dengan keptusan mesyuarat dan juga yang tidak.
Ini kerana Alhamdulillah dilafaz sama ada ketika gembira mahupun masa susah atau sedih. Ini demi menunjukkan syukur dan reda. Perlu dinyatakan maklumat ini saya peroleh hasil carian Google. Carian dilakukan kerana saya orang kerdil dalam soal agama.
Merujuk kembali intipati penulisan ini yakni kebolehan politikus kita bercakap tanpa bercakap dan hanya menggunakan ucapan Alhamdulillah tanpa perlu beri penjelasan lanjut. Bagi saya ini satu kemahiran yang mereka ada. Alhamdulillah diucapkan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.