Wan Fayhsal 100% yakin Hamzah kekal ketua pembangkang

Wan Fayhsal 100% yakin Hamzah kekal ketua pembangkang

Ahli Parlimen Machang berkata keputusan mengenai siapa patut menerajui blok terletak di tangan Ahli Parlimen pembangkang dengan sebahagian besar daripada PAS, yang didakwa menyokong Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin
Kedudukan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu sejak dipecat Bersatu pada 13 Feb, di kemuncak kemelut kepimpinan dalaman dengan Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menjangkakan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, akan kekal ketua pembangkang walaupun dipecat partinya, sambil memetik sokongan PAS sebagai faktor utama.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata keputusan mengenai siapa yang patut menerajui blok di Dewan Rakyat akhirnya terletak di tangan Ahli Parlimen pembangkang, lapor Utusan Malaysia.

Wan Fayhsal berkata, Hamzah mempunyai sokongan kira-kira 18 Ahli Parlimen lain yang sama ada bekas ahli atau masih bersama Bersatu, manakala PAS adalah parti yang mencadangkan beliau bagi jawatan itu sejak awal lagi.

“Saya yakin 100%, majoriti akan menyokong Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang, cuma soalnya sebagai Ahli Parlimen bebas bagaimana? Setakat ini tidak pernah ada, mungkin pertama kali dalam sejarah.

“Sebelum ini, yang lantik ketua pembangkang bukan Muhyiddin, yang lantik adalah konsensus Ahli-ahli Parlimen dan juga konsensus daripada parti terbesar PN iaitu PAS. PAS yang menamakan Hamzah sebagai ketua pembangkang. Bersatu tidak ada hak sebab jumlah Ahli Parlimen kurang.

“Jadi, agak-agak Bersatu boleh paksakah untuk gugur Hamzah sebagai ketua pembangkang? Tidak boleh, sebab saya boleh kata semua Ahli Parlimen bersama Hamzah termasuk juga dari PAS,” katanya.

Namun, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, berkata sekiranya PAS mahu mengambil alih peranan berkenaan, setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, dianggap calon sesuai.

“Tidak ada masalah, yang aktif dan terbukti kepimpinan dia dalam Parlimen, sangat berfungsi.”

Kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu sejak dipecat Bersatu pada 13 Feb, di kemuncak kemelut kepimpinan dalaman dengan Muhyiddin.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan, berkata Muhyiddin sepatutnya diberi mandat menentukan pelantikan ketua pembangkang baharu.

Pada Jumaat, Presiden PAS Hadi Awang berkata parti itu akan membincangkan sama ada mereka patut mengambil alih jawatan tersebut.

Majlis Tertinggi PN akan bermesyuarat hari ini untuk memutuskan jawatan pengerusi gabungan itu, namun perbincangan mengenai jawatan ketua pembangkang juga dijangka akan berlangsung.

‘PAS tak suka Azmin, Peja’

Dalam perkembangan berasingan, Wan Fayhsal berkata pemecatan beramai-ramai beberapa pemimpin Bersatu yang sealiran dengan Hamzah menjadikan parti itu beban kepada PN.

Beliau berkata, Hamzah memainkan peranan penting menyalurkan sumber kepada parti, secara umum, dan juga untuk pemilihan parti, dan pemecatannya bermakna banyak bahagian kini mengalami kekangan kewangan.

“Saya nampak ini satu perkara yang jelas Bersatu sudah menjadi parti yang liabiliti dan lemah. Malah, orang PAS pun tidak suka beberapa kepimpinan dalam Bersatu seperti Azmin Ali dan Ahmad Faizal Azumu.

“PAS juga tidak menyokong usul Bersatu yang menamakan Muhyiddin calon perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata, PAS mempunyai banyak pilihan dan tidak terhad kepada PN sahaja, walaupun beliau mengakui gabungan itu merupakan satu entiti yang bernilai berdasarkan sokongan diperoleh daripada pengundi pada PRU lalu.

“Jangan pula kita rasa PN ini satu-satunya ‘vehicle’ ataupun wahana untuk orang Melayu khususnya untuk mengundi dalam PRU16. Masalah sekarang adalah Bersatu, yang telah membuang ramai Ahli Parlimen dan pemimpin yang terbukti mempunyai kredibiliti dan berkesan kepada masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.