Takiyuddin ada pakej ketua pembangkang ganti Hamzah, kata penganalisis

Takiyuddin ada pakej ketua pembangkang ganti Hamzah, kata penganalisis

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata PN perlu tokoh lebih 'commanding' di Parlimen yang dimiliki Takiyuddin Hassan.

hamzah zainudin n takiyuddin hassan
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata Takiyuddin Hassan boleh isi kekosongan aura Hamzah Zainudin di kerusi ketua pembangkang.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berpotensi dicalonkan ketua pembangkang sekiranya Perikatan Nasional (PN) mahu menggantikan Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata gabungan itu memerlukan orator politik, seseorang yang mempunyai pengaruh dan berwibawa membawa suara pembangkang untuk mengimbangi kekuatan kerajaan.

Beliau berpandangan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mempunyai pakej itu berdasarkan pengalamannya, selain sering ke depan mewakili PN dalam perbahasan atau isu di Dewan Rakyat.

“PN perlu mempertimbangkan tokoh lebih ‘commanding’ di Parlimen untuk mengisi kekosongan aura Hamzah dan SUA PAS (Takiyuddin) ada pakej itu,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.

Namun, Zaharuddin berkata jika Bersatu tetap mahukan kerusi itu disandang wakil rakyatnya, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin mungkin boleh diangkat menggantikan Hamzah.

“Jika PAS bersetuju jawatan itu kekal di tangan Bersatu, Radzi boleh dijadikan kompromi politik. Namun keberkesanannya mungkin dipersoalkan,” katanya.

Jumaat lalu, Presiden PAS Hadi Awang berkata parti itu akan membincangkan pada mesyuaratnya hari ini sama ada mereka akan mengambil alih jawatan ketua pembangkang.

Pada 14 Feb lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu R Sanjeevan dipetik berkata parti itu memberi mandat kepada Presiden Muhyiddin Yassin bagi menentukan pelantikan ketua pembangkang baharu.

Timbul persoalan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang selepas Ahli Parlimen Larut itu dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu.

PN mungkin perlu segera membuat lantikan atau mengekalkan Hamzah memandangkan Parlimen akan memulakan persidangannya esok selepas tidak bersidang dari 16 hingga 19 Feb susulan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata dalam situasi sekarang mungkin sukar untuk PAS memberi laluan kepada Bersatu sebagai ketua pembangkang.

“Memang Radzi boleh jalankan tugas itu tetapi dalam keadaan sekarang adakah PAS akan setuju?

“Saya tak nampak ada peluang itu dengan melihat Muhyiddin (Yassin) ada sokongan kurang Ahli Parlimen (berbanding Hamzah yang mendakwa disokong 18 wakil rakyat Bersatu),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.