Tangga runtuh bah

Tangga runtuh bah

Untuk kata tiada pembangunan di Sabah adalah tidak betul. Namun, ada rakyat yang tidak dapat nikmati sepenuhnya kemanisan pembangunan.

Mohsin Abdullah

Saya tidak pasti sama ada ia tular. Tetapi saya percaya ramai sudah tonton termasuk anda. Saya bercakap mengenai klip video menerusi TikTok yang menunjukkan tangga atau ‘pangkin’ papan di depan sebuah rumah runtuh. Di sebuah kawasan di Sabah baru baru ini.

Bagi saya klip itu dihantar menerusi aplikasi WhatsApp oleh bekas wartawan Jimmy Yeow. Kawan lama saya sebenarnya.

Video menunjukkan beberapa wakil parti politik berkunjung ke sebuah rumah usang bertujuan saya kira untuk berkempen. Maklumlah pilihan raya negeri Sabah akan diadakan 29 Nov ini.

Ketika seorang dua wakil parti mungkin lebih (kebetulan semua wanita) naik ke pangkin papan menuju ke pintu rumah pangkin papan yang sememangnya sudah reput terus pecah. Menurut kapsyen video tangga yang runtuh.

Perlu dinyatakan video tidak menunjukkan insiden dengan jelas. Yang ditunjuk pangkin papan yang pecah dan bunyi pecahan atau runtuhan. Dan suara orang berteriak. Saya kira daripada apa yang dilihat dan dengar kejadian tidak begitu serius. Maksud saya kemungkinan tiada yang cedera.

Jimmy si kawan lama yang menghantar klip video turut hantar teks bertanya, ‘bad omen for PN?’ Beliau merujuk wakil parti yang terbabit memakai baju-T dan vest berlambang Perikatan Nasional.

Saya tidak tahu sama ada itu apa apa petanda buat PN. Yang saya tahu menurut pemerhati politik secara keseluruhan PN agak bergelut – kalau menang pun mungkin satu dua kerusi sahaja.

PN meletak 42 calon ini – yakni 33 daripada Bersatu, enam PAS dan Gerakan tiga. Ini butiran yang diberi oleh seorang lagi kawan yang memetik data Tindak Malaysia, NGO yang beri tumpuan kepada pilihan raya.

Langkah paling bagus buat PN pasca PRN ialah untuk ia bekerjasama dengan gabungan yang menang jumlah kerusi terbanyak. Tetapi ia must come to the table dengan bilangan kerusi yang boleh menarik minat pihak yang mahu ia pikat. Baru ada bargaining power. Ini berdasarkan jangkaan pakar politik Sabah bahawa tidak ada ada gabungan parti (apa lagi parti bersendirian) yang boleh bentuk kerajaan secara mutlak. Mesti ada kerjasama atau pakatan pelbagai parti. Ertinya banyak horse trading selepas keputusan pilihan raya diketahui. Tetapi itu bukan soalanya pada penulisan ini.

Yang ingin saya perkatakan ialah pangkin atau tangga runtuh yang disebut tadi. Terjadinya insiden itu menunjukkan ada rumah usang di Sabah. Mungkin banyak mungkin tidak banyak saya tidak tahu. Saya bukan pakar mengenai Negeri di Bawah Bayu itu.

Terjadinya insiden itu juga menunjukkan ada orang hidup tidak senang. Hakikatnya di kala ada ramai orang kaya Sabah duduk di rumah mewah ada juga orang Sabah yang duduk di rumah usang.

Golongan mana lebih ramai tidaklah saya tahu. Harapan saya yang kaya lebih ramai daripada yang miskin. Dan si kaya akan bantu si miskin.

Pastinya parti yang berkempen sudah berjanji jika diberi mandat akan bawa pembangunan ke setiap pelosok negeri khusus daerah pedalaman untuk beri orang susah nikmat pembangunan dan segala macam.

Untuk kata tiada pembangunan di Sabah adalah tidak betul. Namun, ada rakyat yang tidak dapat nikmati sepenuhnya kemanisan pembangunan.

Harap-harap sesiapa yang menang – sama ada parti lokal atau gabungan parti lokal mahupun parti lokal yang berkerjasama dengan parti nasional akan laksana apa yang dijanjikan. Seperti dikata tadi dengan rumah usang masih ada jelas semua pihak yang pernah bentuk kerajaan sejak dahulu lagi tidak dapat (gagal?) melakukan suatu untuk mengatasi masalah kemiskinan dengan berkesan.

Saya kutip laporan Astro Awani bertarikh 14 Mac 2024. Laporan memetik Rafizi Ramli ketika itu menteri ekonomi memberitahu Dewan Rakyat miskin tegar di Sabah enam kali ganda berbanding nasional.

Dan Tongod daerah termiskin. Selain itu, daerah yang dikategorikan termiskin ialah Beluran, Pintas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau serta Lahad Datu.

Bagaimanapun, menurut laporan FMT yang disiar tahun ini yakni tujuh bulan lalu miskin tegar Sabah turun hampir 90%. Ketua isi rumah miskin tegar berkurang kepada 1,464 berbanding 14,553 direkodkan pada 29 Feb 2024. FMT memetik Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Abidin Madangkir berkata demikian pada sidang DUN.

Give credit when credit is due. Namun, seperti ditunjuk insiden tangga runtuh yang disebut tadi jelas belum masa sesiapa untuk rest on their laurels.

Saya akui bukan mudah. Tetapi harapan saya ialah kemiskinan sifar dapat dicatat. Tiada orang miskin di Sabah. Tiada tangga runtuh kerana tiada rumah usang.

Mungkin saya boleh dilihat naif. Mungkin juga dituduh suka berangan-angan. Tetapi bak nyanyian John Lennon dalam lagu hitnya Imagine: “You may say I am a dreamer but I’m not the only one”.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.