Kemelut Perlis: Adun Bersatu kata perasaan bercampur baur, dakwa akar umbi tertanya-tanya

Kemelut Perlis: Adun Bersatu kata perasaan bercampur baur, dakwa akar umbi tertanya-tanya

Yadzil Yaakub berkata sesuatu boleh dilakukan untuk selamatkan PN 'sebelum terlambat'.

perhimpunan
Adun Bemban, Yadzil Yaakub dakwa ramai akar umbi Bersatu dalam keadaan tertanya-tanya susulan kemelut politik di Perlis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat Bersatu mendakwa ramai akar umbi parti itu dalam keadaan tertanya-tanya susulan kemelut politik di Perlis, yang kini menyaksikan peralihan tampuk kuasa daripada PAS kepada Bersatu.

Adun Bemban, Yadzil Yaakub, bahkan memberitahu bahawa perasaan beliau bercampur-baur berhubung peristiwa itu.

Mohd Yadzil Yaakub
Mohd Yadzil Yaakub.

“Rasa marah, terkilan, sedih, tertanya-tanya. Semuanya bercampur baur,” katanya kepada FMT. “Ramai akar umbi yang tertanya-tanya. Apa dah jadi? Ada sesuatu yang tidak betul terjadi di peringkat kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional”.

Tidak lama selepas Adun Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai menteri besar Perlis, semalam, beberapa pemimpin PAS memberi pelbagai reaksi di media sosial termasuk ada menganggapnya sebagai satu bentuk ‘pengkhianatan’ dan ‘kawan makan kawan’.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata tiada arahan dikeluarkan kepada lima Adun parti itu di Perlis untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Shukri meletak jawatan menteri besar selepas tiga tahun menggalas amanah itu. Beliau memberi alasan faktor kesihatan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun PN, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan kepada beliau menerusi akuan berkanun diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.

Yadzil, yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi, berkata beliau dan ahli Bersatu lain menghormati PAS sebagai ‘rakan dalam perjuangan’.

“Perikatan Nasional (PN) bukan milik peribadi, dan bukan juga hak Bersatu atau PAS. Ia hak bersama Bersatu dan PAS. PAS mempunyai peluang yang sama seperti Bersatu, bukan duduk di bawah Bersatu,” katanya.

Sentimen ini menyusuli cakap-cakap tentang menghidupkan semula Muafakat Nasional — kerjasama yang pernah terjalin antara PAS dan Umno — susulan tercetusnya kemelut di Perlis.

Yadzil berpandangan meninggalkan PN bukan penyelesaian kepada masalah, dan menyeru agar PAS memainkan peranan ‘memperbaiki kerosakan’.

“Saya yakin sesuatu boleh dilakukan untuk menyelamatkan PN sebelum terlambat. Penyelesaian kemelut ini perlu melalui musyawarah. Mesyuarat PN perlu diadakan segera,” katanya.

Semalam, bekas ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata kemelut di Perlis melambangkang kegagalan Muhyiddin selaku pengerusi PN, dan menyarankan PAS mengambil alih kepimpinan gabungan itu.

Wan Saiful berkata Muhyiddin mesti bertanggungjawab kerana beliau sepatutnya segera bertindak sebaik sahaja ‘gelora’ dikesan di Perlis.

Beliau turut mempersoalkan kenapa mesyuarat PN tidak dipanggil untuk menentukan calon menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.