Gamaknya pemain warisan leluhurnya Nyemah Mulya

Gamaknya pemain warisan leluhurnya Nyemah Mulya

Budak-budak itu, warisan atau tidak warisan hanyalah minat hendak bermain bola. Janganlah ditegah dan diharamkan mereka di padang.

faisal tehrani

Sebenarnya, jika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa menghubungi sahaya, apa yang dikatakan kononnya kontroversi atau ‘kemaluan’ ini tidaklah akan melanda. Ini kerana sebagai pengarang 1515, sahaya mungkin tahu asal-muasal, silsilahnya keturunan ramai anak-anak muda pemain warisan itu.

Sebelum sahaya menceritakan perihal mereka, izinkanlah sahaya memperkenalkan Nyemah Mulya. Adapun Nyemah Mulya itu menjelma dalam sebuah kitab lama berjudul 1515. Kitab itu tidak wajar diragui oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, ia telah diluncurkan secara rasminya banyak tahun lalu oleh bendahara tua, Tun Mahathir Mohamad.

Perihal Nyemah Mulya itu begini; adalah Nyemah itu seorang perwirawati di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Jika Sumud Flotilla ada Greta Thunberg, Melayu kita ada Nyemah Mulya yang bakatnya itu teramatlah luar biasa. Untuk mereka yang mengetahui perihal Tun Nyemah Mulya pasti mereka bertitik air mata mengenangkan sumbangsih paduka Tun Nyemah menentang dan menumpaskan Feringgi pada tahun 1511 ketika Melaka diserang Portugis. Apatah pula Baginda Sultan Mahmud dan Tun Fatimah sendiri mengiktiraf Nyemah yang ketika masih sunti muda sudah lincah dan handal menentang musuh Melaka tatkala itu.

Andai kata ketika itu ada TikTok live pasti ramai tercengang melihatkan bagaimana Bendahara Tepok turun mengengsot menyembah hormat akan perawan berusia 15 tahun yang berkelubung kain pelekat itu ketika dia datang menghadap ke istana. Tentulah terkesima menonton langsung saat Nyemah di balai penghadapan, berdiri sebagai seorang perwirawati Melaka yang sangat hebat dan sebaris pula dengan bangsawan lainnya. Juga andailah ada TikTok live pasti ramai Gen Z berhenti mengkagumi K-pop, lantaran melihatkan Nyemah Mulya belayar memimpin Nusantara flotilla menuju ke Lisboa untuk mengalahkan kuasa penjajah bedebah di kurun ke-16 itu.

Nyemah Mulya itu memang tiada bukti sejarah akan dia. Ini kerana di sebalik kelincahan dirinya bermain senjata keris dalam menentang Portugis, dan membunuh Alfonso de Albuquerque, malangnya Nyemah itu dipadamkan sejarahnya oleh kaum agamawan, iaitu gerombolan jumud flotilla yang enggan mengiktiraf kewujudannya Nyemah Mulya. Ini semata-mata kerana Nyemah itu juga menggunakan ilmu menunduk jin dari kitab tradisional kita ketika mengalahkan tentera Portugis.

Pihak berkuasa agama menganggap ilmu penggunaan jin itu satu tahyul, dan mencampuradukkannya dengan ilmu persilatan lantas ditanggapi sebagai satu cabang daripada ajaran ‘New Age’. Itulah puncanya Nyemah Mulya kurang dikenali anak bangsa sendiri.

Izinkan sahaya memerikan akan kisah Ferno Peres de Anrande, soldadu Feringgi yang telah menembak Tun Nyemah dengan bedil. Mujur dengan berkat ayat-ayat suci al-Quran dari surah al-Qodar Tun Nyemah dapat menggenggam peluru besi dan menghantarnya semula balik. Peluru itu gesit memecut dan membenam ke dalam paha Feringgi jahat. Ferno Peres itu meski tidak lama di Melaka, sempatlah dia mencari teman wanita ketika itu.

Selain Peres, Tun Nyemah juga berlaga dengan Feringgi yang diketuai Joao de Sousa, Antonio de Abreu dan Aires Peres yang menyerang orang Melayu di suatu jambatan. Kiranya kalian membaca kitab 1515 itu akan ada bahagian mengisahkan bagaimana mereka menembak melulu ke arah orang Melaka dan mara ke arah jambatan tetapi terhenti terencat apabila Nyemah bersilat terbang menahan mereka itu semua.

Ada pula perihal akan Pero Goncalves, askar Portugis itu melepas tembakan ke arah Nyemah Mulya, tetapi berkat kebolehannya melaung azimat pelias menangkap peluru yang keluar dari senapang Pero Goncalves itu, dapat Nyemah genggam peluru tersebut. Peluru itu kemudian dikunyah dan ditelan oleh Nyemah Mulya sehingga soldadu tersebut berasa sangat takut dan menggeletar. Dalam keadaan ketakutan dan terpinga-pinga itulah, Nyemah Mulya menikam Pero Goncalves sehingga mati. Tapi itu pun katanya
Goncalves sempat juga memiliki teman wanita.

Nah di sinilah ada pentingnya. Sahaya difahamkan yang Ferno Peres de Anrande, Joao de Sousa, Antonio de Abreu, Aires Peres, dan Pero Goncalves itu semua tatkala berada di Melaka sekejapan, mungkin sempat menabur benih dalam rahim wanita Melaka. Waris mereka itu khabarnya bertabur seluruh dunia, dan tidak mustahil ada yang hari ini bermain bola sepak. Dalam erti kata lain nenek moyang mereka itu memang asal Melaka, yang hari ini duduk dalam Malaysia. Sahaya katakan ‘tidak mustahil’ mereka itu sendiri warisannya soldadu Feringgi itu.

Jikalau pembaca meneliti kitab 1515, ketahuilah juga Tun Nyemah juga memimpin Nusantara Sumud Jong ke Portugal pada tahun 1515. Dalam pelayaran pergi ke Eropah itu, Nyemah dan bala tentera membebaskan Goa dari penguasaan Portugis. Bukan setaka itu, Nyemah Mulya kemudian ikut belayar ke Jeddah dan menunaikan umrah di Mekah. Dari sini tentera Melaka bergabung pula dengan 20 buah lagi kapal perang Turki. Maka memang betul-betul sumudlah belaka. Bala tentera ini kemudian belayar ke Sepanyol dan Portugal melalui pesisir benua Afrika. Mereka berhenti seketika di Afrika Selatan. Ada sebahagian daripada tentera Jawa yang mengikuti bala tentera ini enggan meneruskan perjalanan dan mereka berhenti di Cape Town dan menetap di sini. Sayugia diingatkan tentera itu adalah warga Melaka yang sah, justeru mereka adalah nenek moyang kita jua.

Tidaklah mustahil mereka beranak bercucu di Afrika itu dan tidaklah mustahil ada antara anak cucu mereka itu juga menjadi pemain bola sepak. Setelah tiba di perairan Eropah, Nyemah Mulya berjaya membuat tawaran perdamaian dengan Sepanyol di dalam satu ‘summit’. Menurut kitab 1515, Nyemah dan gerombolan Nusantara kemudian bersekongkol dengan tentera Sepanyol bagi menyerang Portugal.

Dalam serangan itu, Lisbon akhirnya dapat ditawan oleh tentera Melaka pimpinan seorang wanita Melayu bernama Nyemah Mulya. Ya, betul orang Melayu berjaya memerintah Portugal sehingga tahun 1580. Di sana askar-askar Melayu Melaka kita itu ada yang tidak pulang dan berketurunan.

Adapun jika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa menghubungi sahaya, tentulah sahaya dapat jelaskan tidak mustahil nenek Gabriel Felipe Arrocha yang dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol; atau datuk Jon Irazabal Iraurgui yang lahir di Viscaya, Sepanyol; atau datuk Hector Alejandro Hevel Serrano yang dilahirkan di The Hague, Belanda; mereka semua kata sahaya tidak mustahil adalah leluhur warga Melaka belaka.

Di Portugal, sepupu Nyemah Mulya ada berkahwin dengan seorang wanita tempatan, tidak juga mustahil ia kemudian ada bau bacang dengan datuk Facundo Tomas Garces yang berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina. Dari situ tidak mustahil pula jalur ini berpecah menjadi keturunan kepada datuk Rodrigo Julian Holgado yang dilahirkan di Buenos Aires, Argentina. Kemudian tidak mustahil merebak mencapah sampai ke nenek Imanol Javier Machuca yang dikatakan berasal dari Roldan, Argentina. Adapun sepupu mereka itu kelak tidak mustahil pula menjadi moyang kepada datuk Joao Vitor Brandao Figueiredo yang berasal dari Abre Campo, Brazil.

Pokoknya semua mungkin, bahkan semua tidak mustahil.

Argh jika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa menghubungi sahaya, pasti sahaja sahaya jelaskan panjang lebar seperti di atas; dan pasti sahaya khabarkan yang janganlah dipelik dan diaibkan nusa bangsa kita seperti ini. Kita semua keturunan Nabi Adam, memang semua berkait menjadi sepupu-sepapat. Bak kata seorang ustazah pemegang PhD, Lim Kuan Yew pun sepupu Lim Kit Siang.

Budak-budak itu, warisan atau tidak warisan hanyalah minat hendak bermain bola. Janganlah ditegah dan diharamkan mereka di padang.

Seperti kata Cyndi Lauper, ‘girls just want to have fun’; manakala bak kata Paduka Nyemah Mulya, ‘boys pula just want to play soccer’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.