Pembangunan bola sepak vs jalan pintas

Pembangunan bola sepak vs jalan pintas

Mana 'football development programme' FAM yang boleh menghasilkan pemain berkaliber?

Mohsin Abdullah

Sejak dahulu ia dikenali sebagai FAM. Bukan Persatuan Bolasepak Malaysia. ‘Not even Football Association of Malaysia’. Ramai orang ‘prefer’ panggilan FAM.

Kita tahu FAM sedang mendapat perhatian dunia. ‘For the wrong reasons’. Ia baru sahaja buat rayuan kepada Fifa berhubung kes ‘you know what’. Tak payah huraian.

Tup tup timbul pula Nepal membuat aduan. Juga kepada Fifa. Ikut langkah Vietnam gamaknya. Peminat bola sepak tentu sudah tahu tapi saya ulang juga secara ringkas ‘for context’.

Akhbar UK, The Guardian, melaporkan ANFA atau Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal memfailkan aduan terhadap Malaysia selepas Hector Hevel salah seorang penjaring gol dalam kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Nepal, Mac lalu, diputuskan tidak layak oleh Fifa. Bermakna keputusan itu boleh dibatalkan, katanya.

Saya tidak akan ulas isu pemain naturalisasi. Tidak mahu cakap sama ada apa yang dibuat FAM salah atau betul. Yang saya ingin tanya ialah adakah kita ketandusan pemain berkualiti tinggi sehingga FAM terpaksa mengambil pemain naturalisasi? Jika jawapannya iya, pertanyaaan susulan ialah mana ‘football development programme’ FAM yang boleh menghasilkan pemain berkaliber? Pertanyaan sama diajukan juga kepada persatuan bola sepak negeri-negeri. Saya tanya juga program bola sepak peringkat sekolah.

Saya tidak dapat elak daripada mengimbau zaman lalu — zaman bola sepak tanah air boleh dibanggakan dan sememangnya membanggakan. Saya tahu peminat bola sepak zaman ‘now’ akan lihat saya sebagai penulis tua yang tidak boleh ‘move on’ lantas gemar bernostalgia. Namun, saya nyatakan juga bagaimana keadaannya pada zaman lalu, khusus ‘during the golden age of Malaysian football’ tahun 1970-an dan 1980-an. Ada yang boleh dipelajari daripada pengalaman lalu. Toleh ke belakang untuk meninjau ke depan.

Bermula dengan pertanyaan dari mana datangnya pemain hebat seperti Mokhtar Dahari dan rakan-rakan. Jawapannya sekolah. Mereka mula bermain mewakili sekolah masing-masing. Kemudian yang terbaik dipilih mewakili daerah, dan seterusnya negeri. Semua negeri ambil bahagian.

Ada guru sekolah yang minat sukan bertindak sebagai ‘talent scout’ — memilih pemain berbakat yang muncul daripada kejohanan sedemikian. Nama pemain terbaik dihantar ke majlis sukan sekolah-sekolah untuk diserap ke dalam pasukan negara peringat sekolah, dan pasukan itu akan bermain paling tidak pada kejohanan sekolah-sekolah Asean. Ramai antara mereka akan dipilih ke pasukan senior. Begitulah lazimnya untuk ramai pemain sekolah. Tidak dinafi ada yang tercicir kerana ada ramai yang berbakat lalu saingan sengit.

Hakikatnya sekolah menjadi ‘supply chain’ untuk pasukan negeri dan kebangsaan — sama ada remaja mahu pun senior.

Adakah itu berlaku sekarang? Mungkin ada. Adakah perlawanan bola sepak antara sekolah meriah seperti lalu? Saya rasa tidak. Setahu saya kejohanan sekolah-sekolah selesai dalam masa satu minggu. Zaman lalu tidak kurang satu bulan lamanya. Masih adakah guru yang penuh dedikasi bertindak sebagai ‘talent scout?’

Untuk berlaku adil diakui sekarang ada akademi bola sepak, contohnya Akademi Mokhtar Dahari. Ada juga sekolah sukan. Setelah tamat menimba ilmu berapa ramai graduan menyarung jersi kebangsaan, atau setidak tidaknya dipilih bermain untuk pasukan negeri yang sekarang bergelar kelab profesional Liga Malaysia?

Adakah sekolah masih menjadi saluran yang membekalkan pemain untuk pasukan negara? Jika iya, tahniah. Jika tidak perlu ditanya ke mana mereka pergi, atau tidak adakah yang layak?

Saya petik kisah Santokh Singh. Mula bermain di sekolah, beliau kemudian bermain untuk pasukan kecil di kampung — Air Panas di Kuala Lumpur. Kelab itu kemudian bermain di Liga Selangor divisyen bawahan. Liga dikendalikan oleh Persatuan Bolasepak Selangor. Untuk pendek cerita yang panjang, Santokh seterusnya bermain untuk kelab besar di liga divisyen satu, dipilih ke pasukan belia Selangor untuk kejuaraan Piala Burnley. Seterusnya mewakili Selangor senior dan Malaysia. ‘The rest is history’, kata orang. Bukan Santokh seorang melalui perjalanan begitu. Ramai lagi pemain seangkatan.

Waktu itu liga tempatan diminati ramai dan mendapat perhatian. Hampir setiap petang ada perlawanan liga membabitkan kelab. Jadual perlawanan disiar akhbar. Sama ada divisyen satu, dua mahupun tiga ada saja penyokong yang datang menonton beramai-ramai.

Perlawanan lazimnya sengit, dan diadakan di padang terbuka. Tidak ada bayaran dikenakan. Liga tempatan juga menjadi ‘supply line’ untuk pasukan negeri dan kebangsaan.

Sekarang padang untuk bola sepak semakin berkurangan terutama di Lembah Klang. Mungkin juga di Perak dan Pulau Pinang, yang pernah ada liga yang cukup ‘vibrant’.

Dalam era bola sepak profesional sekarang, di mana pasukan negeri bertukar menjadi kelab, persatuan bola sepak negeri dilihat lemah. Tiada lagi pasukan yang mereka boleh bangga. Masih adakah liga tempatan yang dikendalikan mereka? Mungkin ada tetapi lesu. Lantas ada lagikah kelab kecil dalam liga tempatan membekalkan pemain kebangsaan?

Lantas program pembangunan bagaimana? Ada lagi ke? Di setiap pelosok negeri? FAM pula bagaimana? Ada projek pembangunan seluruh negara? Pasti ada pemain hebat yang terselindung di pedalaman atau bandar terpencil. Permata yang menunggu untuk dijumpai dan digilap. Cuma ada tidak ‘talent scout’ yang mencungkil ‘talent?’

Yang dinyatakan ialah formula lama, yang terbukti kejayaan tetapi pasti memakan waktu yang lama. Jika digunakan zaman ini adakah Malaysia akan terpaksa pergi jauh ke benua Amerika Latin dan Eropah untuk mendapatkan pemain yang akan menyarungi jersi negara?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.