Kecil tapi besar

Kecil tapi besar

Apa yang terjadi merumitkan keadaan yang sememangnya rumit, memburukkan keadaan yang tersedia buruk.

Mohsin Abdullah

Bagi sebuah negeri yang kecil, krisis politik Perlis yang sedang disajikan untuk tontonan semua bukan kecil, sebaliknya besar. Sangat besar sebenarnya.

Apa yang telah dan sedang berlaku umum sudah maklum. Tak perlulah saya ulangi apa yang semua sudah tahu. Ia suatu sengketa. Saya guna istilah ‘sengketa’ kerana sememangnya ia suatu sengketa, membabitkan dua anggota Perikatan Nasional yakni PAS dan Bersatu. Mulanya saya mahu sebut ‘dua kawan’, tetapi sekarang nampak kawan tak berapa nak kawan.

Mulanya saya mahu sebut krisis Perlis boleh merebak ke peringkat nasional Perikatan Nasional. Ini saya kira tidak tepat juga kerana keadaan di pusat pun tidaklah aman damai serta tenteram. Jadi apa yang merebak dari Perlis ke pusat? Maksud saya merebakkan krisis tetapi keadaan di pusat pun lebih kurang dilanda krisis juga.

Oleh itu yang terjadi atau boleh terjadi ialah merumitkan keadaan yang sememangnya rumit, memburukkan keadaan yang tersedia buruk.

Memang agak lama sudah ditayangkan kepada khalayak akan perselisihan PAS dan ‘sebahagian’ pimpinan Bersatu, termasuk atau terutamanya berhubung jawatan pengerusi PN — poster boy bila PRU16 diadakan kelak.

Saya kata sebahagian pimpinan Bersatu kerana ada satu lagi bahagian yang PAS suka, malah sokong. Semua tahu siapa yang dimaksudkan. Tak perlu sebut nama.

Di Perlis, menurut Utusan Malaysia yang memetik sumber, Bersatu sudah menyerahkan tiga nama sebagai calon menteri besar setelah Shukri Ramli letak jawatan. Shukri orang PAS. Berikutan itu Presiden PAS Hadi Awang pula dilapor berkata partinya juga sudah mengemukakan nama calon untuk dipertimbangkan Raja Perlis. Jelas PAS dan Bersatu masing-masing mahu jawatan menteri besar.

Di peringkat nasional, Bersatu mahu presidennya jadi calon perdana menteri untuk PN manakala PAS ada pilihan sendiri yang juga daripada Bersatu tetapi bukan pilihan kepimpinan Bersatu. PAS bagaimanapun tidak tolak kemungkinan ia sendiri boleh letak calon. Kesimpulannya, kalau di Perlis dua-dua parti mahu jawatan menteri besar, di peringkat nasional dua-dua mahu orangnya jadi perdana menteri.

Di Perlis, PAS sudah ambil tindakan tegas ke atas tiga Adun setelah mengakui menandatangani surat akuan berkanun atau SD untuk menarik balik sokongan daripada Shukri. PAS kata keahlian ketiga-tiga Adun itu ‘terhenti’ berkuatkuasa serta-merta.

‘Keahlian terhenti’ maksudnya apa? Sendiri letak jawatan, keluar parti lalu henti jadi ahli parti? Tentu bukan begitu kerana apa yang digambarkan PAS, pada pemahaman saya, ialah ketiga=tiga dipecat. Kalau pecat cakap je pecat. Kenapa perlu berlapik-lapik?

Apa pun ada lima Adun Bersatu yang turut tandatangan SD dan menjadi isu. Ertinya mereka bersekongkol dengan tiga Adun PAS tadi.

Bagaimanapun tidak ada apa tindakan dikenakan sehingga artikel ini ditulis ke atas lima Adun Bersatu berkenaan oleh parti mereka. Tentu pelbagai andaian dan spekulasi timbul. Tak perlu saya huraikan.

Tampil Nurul Islam Mohamed Yusof, pengarah Jabatan Kajian dan Polisi di Lajnah Penerangan PAS Pusat. Kata beliau, jika kelima-lima Adun terbabit menandatangani SD seperti tiga Adun PAS yang disebut tadi, Bersatu mesti ambil tindakan tegas kerana jelas itu satu cubaan menjatuhkan kerajaan PN Perlis dan sabotaj menteri besar PAS.

Beliau juga mengingatkan bahawa Bersatu pernah menggugurkan enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang antara lain menyaksikan Bersatu menulis surat kepada speaker Kelantan untuk mengosongkan kerusi DUN Nenggiri.

“Kenapa dalam kes Perlis ni tak boleh?” tanya Nurul Islam.

Itu bukan kata-kata pemimpin PAS peringkat negeri. Beliau pemimpin PAS Pusat. Bagai menunjukkan seriusnya isu ini Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man senada dengan Nurul Islam.

Hadi bagaimanapun pun dilapor FMT menyerahkan kepada Bersatu sama ada mahu ambil tindakan disiplin terhadap lima Adun mereka. “Itu terpulang kepada Bersatu,” beliau dipetik berkata. Mungkin Hadi mahu meredakan keadaan.

FMT turut melaporkan penganalisis menjangkakan kemungkinan besar berlaku pertembungan antara PAS dan Bersatu jika PRK diadakan. Memang PRK tidak perlu diadakan bagi tiga kerusi yang diisytiharkan kosong berikutan terhentinya keahlian tiga Adun PAS, kerana DUN akan terbubar secara automatik dalam tempoh dua tahun. Bagaimanapun speaker DUN diberitakan berkata beliau akan mengutus surat kepada SPR bagi memohon agar PRK diadakan demi menjamin kestabilan politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara memberi amaran bahawa keretakan antara PAS dan Bersatu dilihat parah dan ini boleh mencetuskan persaingan langsung jika PRK diadakan.

Ingin saya menambah apabila PRK diadakan, ia bukan sekadar membabitkan jentera parti peringkat negeri. Bersatu dan khususnya PAS yang jauh lebih kuat akan menggerakkan jentera daripada setiap negeri. Pilihan raya kecil itu bukan kecil kerana membabitkan pemimpin nasional dan jentera nasional, lantas boleh dianggap pertempuran nasional PAS-Bersatu.

Boleh parah, memang parah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.