Cakap-cakap sang politikus

Cakap-cakap sang politikus

Apa makna Wan Saiful kata beliau 'berikrar' dan sebagainya?

Mohsin Abdullah

Apabila sang politikus mengeluarkan kata-kata yang kita si rakyat biasa rasa ia suatu penghinaan, kita pun menuntut sang politikus memohon maaf. Sang politikus pun memohon maaf, dengan caranya tersendiri, lalu berkatalah: “Saya tidak berniat nak menghina. Saya mohon maaf jika kamu rasa begitu”. Ini kerap terjadi.

Apa yang sang politikus lakukan ialah mohon maaf kerana kita terasa dihina, bukan mohon maaf kerana menghina.

Secara ‘teknikal’ sang politikus ada mohon maaf lantas tak boleh tuduh dia tidak mohon maaf. Lalu bagi sang politikus habis cerita. Bagi saya, ini cara mohon maaf tanpa mohon maaf dan untuk berbuat demikian ialah suatu ‘seni’ dan ‘skill’. Not easy to muster and master such skills. Pada pandangan saya Wan Saiful Wan Jan, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, antara politikus yang ada kemahiran itu. Beliau mampu desak presiden partinya supaya berundur tanpa kata presiden mesti undur.

Sebelum itu imbau kembali Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 9 Sept lalu. Presiden Muhyiddin Yassin mendedahkan wujud gerakan mengumpulkan tandatangan dalam kalangan ahli parti bertujuan untuk menyingkirnya. Tiga hari lalu Wan Saiful tampil mengadakan sidang media dan mengaku kewujudan akuan berkanun atau SD, yang ditandatangani 120 ketua bahagian Bersatu. Tetapi beliau mendakwa ia merupakan sokongan terhadap pelan peralihan kuasa yang dipersetujui tahun lalu, bukan untuk singkir Muhyiddin.

Pada sidang media 29 Sept lalu, Wan Saiful berkata: “Demi kemenangan, adalah lebih baik sekiranya Muhyiddin terus memimpin parti sehingga kita menang Pilihan Raya Umum ke-16.”

Berdasarkan kata-kata itu semuanya aman. Tidak ada masalah, dan jika Bersatu (Perikatan Nasional) menang PRU16, Muhyiddinlah yang jadi perdana menterinya. Bagaimanapun Wan Saiful seterusnya berkata: “Namun, memandangkan beliau berulang kali menyatakan hasrat untuk bersara, saya berikrar untuk patuh dan akan terus menjaga integriti parti demi mempertahankan legasi beliau (Muhyiddin).” Perhatikan tidak ada langkah memujuk Muhyiddin supaya jangan bersara.

Come to think of it seingat saya Muhyiddin hanya sekali menegaskan mahu undur diri iaitu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023. Tetapi tiga hari kemudian ubah pendirian dan berkata beliau mahu kekal sepenggal lagi, ertinya hingga 2027. Selepas itu Muhyiddin tidak ada lagi cakap pasal nak undur. Maka soal Muhyiddin nyatakan hasrat bersara ‘berulang kali’ seperti kata Wan Saiful tidak timbul. Jadi apa makna Wan Saiful kata beliau ‘berikrar’ dan sebagainya?

Wan Saiful kemudian berkata: “Jika Tan Sri Muhyiddin ingin melaksanakan perubahan, saya mencadangkan ia dibuat lebih awal supaya kepimpinan baharu mempunyai ruang untuk merancang dan memimpin parti.”

Antara kata kuncinya ialah ‘dibuat lebih awal’ dan ‘kepimpinan baharu’. Saya baca ‘dibuat lebih awal’ sebagai sekarang, dan ‘kepimpinan baharu’ bukan kepimpinan sekarang yang dipimpin Muhyiddin. Ertinya yang sekarang (baca yang lama ) mesti ditukar dengan yang baharu.

Setelah itu Wan Saiful kata ini: “Dengan syarat kepimpinan baharu mesti mengekalkan Muhyiddin sebagai pengerusi atau penasihat dan kekal sebagai wajah utama parti.”

Saya (tentu juga anda) lihat ini sebagai kata-kata yang membawa makna Muhyiddin lepaskan lah jawatan presiden dan kamu akan diberi jawatan pengerusi atau penasihat. Pengerusi atau penasihat bebas untuk beri pandangan dan nasihat, tetapi parti pula bebas sama ada nak terima nasihat atau mengabaikannya. Kuasa sebenar milik presiden.

Siapa ‘kepimpinan baharu’ yang Wan Saiful maksudkan? Tidak pula dinyatakan tetapi beliau dengan jelas menegaskan Azmin Ali bukanlah orangnya.

Beliau dipetik berkata: “Saya nyatakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang ‘ tidak diselesaikan Azmin tidak layak jadi pemimpin Bersatu”. Panjang lagi beliau bercakap mengenai ‘video songang’ itu dan saya tidak berniat mengulanginya pada penulisan ini. Rasanya umum tahu video apa yang dimaksudkan.

Azmin diketahui umum memang rapat dengan Muhyiddin. Beliau antara penggerak utama Langkah Sheraton yang mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri. Dalam Bersatu, Azmin adalah hulubalang yang mempertahankan Muhyiddin.

Muhyiddin orang lama dalam politik. Pasti beliau faham apa yang tersurat dan tersirat dalam kata-kata Wan Saiful. Saya percaya beliau juga tahu sama ada Wan Saiful bertindak sendirian atau buat apa yang dibuat bagi pihak pemimpin tertentu dalam Bersatu.

Perlu dinyatakan perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Sept lalu sebulat suara meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri. Berikutan kenyataan Wan Saiful beberapa pimpinan negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu mendesak lembaga disiplin parti supaya ambil tindakan segera ke atas beliau.

Saya ulangi apa yang pernah saya tulis pada artikel terdahulu — Bersatu tidak bersatu, dan sekarang sudah berperang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.