
Pengiktirafan kenegaraan Palestin oleh United Kingdom, Australia dan Kanada Ahad lalu dan diikuti Portugal semalam semestinya disambut baik dan dialu-alukan. Lebih banyak negara terutama di Eropah akan megambil langkah sama. Mereka menyertai lebih 150 negara lain yang secara rasmi sudah mengiktiraf negara Palestin.
UK, Australia dan Kanada selama ini sekutu Israel. Paling tidak pun mesra Israel dan tidak mesra Palestin. Mereka tahu langkah mengiktiraf Palestin tidak disenangi Israel malah menimbulkan kemarahan tetapi mereka lakukan juga kerana sudah bosan dan menyampah, sudah sedar Israel semakin melampau melakukan kekejaman dan genocide ke atas rakyat Palestin.
Langkah United Kingdom amat menarik perhatian. UK mengiktiraf Palestin 108 tahun selepas Deklarasi Balfour, yang mengumumkan kerajaan British menyokong penubuhan sebuah ‘tanah air’ untuk orang Yahudi di bumi Palestin, pada 2 November 1917.
Deklarasi ini mendapat namanya bersempena Arthur James Balfour, setiausaha luar British yang mengutus pengumuman itu kepada pemimpin Yahudi British, Walter Rothschild.
Deklarasi itu menyatakan simpati kepada aspirasi Zionis, dan ungkapannya dimasukkan ke dalam apa yang dipanggil Mandat British ke atas Palestin selepas Perang Dunia Pertama. Ia dilihat sebagai pemula ‘negara’ Israel dan pemenjaraan Palestin. Tidak kurang juga yang menyifatkan Deklarasi Balfour sebagai pengkhianatan Britain terhadap Palestin.
Kini lebih 100 tahun kemudian, Perdana Menteri UK, Keir Starmer, pada Ahad menegaskan “dalam menghadapi ngeri yang semakin memuncak di Timur Tengah, kami bertindak untuk mengekalkan peluang kepada keamanan dan penyelesaian dua negara.”
Kata Starmer lagi: “Jadi hari ini bagi menghidupkan semula harapan kepada keamanan dan penyelesaian dua negara, saya nyatakan sebagai perdana menteri, United Kingdom secara rasmi mengiktiraf negara Palestin.”
Dalam menghargai langkah itu, saya tidak dapat elak bertanya adakah UK sekarang mahu menebus dosa lampau? Dalam nada lembut are they now ready to right the wrongs of the past?
Malah Al Jazeera pada 21 Sept lalu menyiarkan rencana yang diberi tajuk “Is recognising Palestine a way to ‘save face’ for Western leaders?” Rencana itu memetik beberapa penganalisis berkata para pemimpin itu juga telah dan sedang menerima tekanan oleh rakyat sendiri , yang mahu mereka bertindak menghentikan keganasan Israel.
Meskipun UK sudah ambil langkah positif, ia masih mengharamkan kumpulan aktivis British pro-Palestin, Action Palestine, yang pentadbiran Starmer tuduh ‘terrorists‘.
Starmer bercakap mengenai penyelesaian dua negara. Two-state solution. Sememangnya kebanyakan negara menyifatkan itu penyelesaian terbaik. Ertinya ada negara Palestin dan ada negara Israel.
Beberapa jam sebelum UK dan tiga negara lain mengiktiraf Palestin, Shosh Badrosian, jurucakap Benjamin Netnyahu berkata perdana menterinya menyifatkan pengiktirafan itu “tidak masuk akal dan ganjaran buat terorisme”
Netanyahu pula berkata, “a Palestine state will not happen” dan akan meneruskan operasi menakluki seluruh Tebing Barat, di samping berjanji akan ada respons ke atas negara yang mengiktiraf Palestin. Dia sombong, bongkak, angkuh kerana dia tahu dia ada Donald Trump.
Kata CNN: “Without Trump’s backing, Netanyahu has few options for how Israel would respond. But with that backing — which Netanyahu is clearly signalling he has — the Israeli leader feels he can do just about anything under a blanket of US diplomatic protection.”
Semasa UK, Australia dan Kanada mengumumkan Palestin, tentera Israel meneruskan keganasan dan pembunuhan di Gaza dan persekitaran. Sehingga sekarang .
Apa pun Israel khususnya Netanyahu semakin terpinggir di pentas antarabangsa, begitu juga Trump. Kata CNN, “when President Donald Trump delivers the first address of his second term to the annual gathering of global leaders at the UN General Assembly on Tuesday he will be at odds with more than half of the member nations including key allies over the war in Gaza and possibility of establishing a Palestinian state.”
Kata CNN lagi: “Trump administration has become increasingly isolated on the issue as the conflict near its two year mark.”
Selain bercakap mengenai two-state solution, pemimpin dunia mesti memastikan pembunuhan rakyat Palestin dan segala bentuk keganasan oleh Israel yang masih menjadi-jadi dihentikan segera.
Umum tahu Israel tidak akan menghentikan kekejamannya melainkan dipaksa. Memang tekanan antarabangsa sedang dipertingkatkan, kempen boikot juga semakin rancak — ada kemungkinan Israel akan disingkir daripada Eurovision dan kejohanan sukan antarabangsa. Namun banyak lagi mesti dilakukan.
Sekatan ke atas ekonomi umpamanya. Negara yang punya hubungan diplomatik dengan Tel Aviv wajar putuskannya. Lanjutkan kempen boikot untuk membabitkan pelbagai aspek contohnya ‘cultural boycott‘. Waran tangkap ke atas Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant, dikeluarkan oleh Mahkamah Jenyah Antarabangsa. Heret penjenayah perang ke muka pengadilan. Larang warga Israel masuk ke negara-negara yang mereka pergi untuk melancong atau berdagang.
Palestin masih bukan anggota PBB. Pengiktirafan tidak membawa new UN privileges tanpa sokongan Amerika Syarikat. Sesungguhnya pengikitirafan satu langkah kecil tetapi cukup simbolik penuh bermakna. Bak kata Al Jazeera, “still it could be a first step”. Betul. First of many steps to be taken.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.