
Pada Khamis lalu, berkatalah si presiden Umno bahawa 14 Adun partinya di Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri. Arakian, tersebutlah pula pendirian itu dicapai selepas Zahid Hamidi mengadakan perbincangan dengan kumpulan itu bagi meneliti semula ‘keadaan sebenar’ serta “memperbetulkan persepsi yang timbul”.
Saya tidak mahu tanya apa ‘keadaan sebenar’ yang sudah diteliti semula itu. Tidak juga ingin bertanya apa ‘persepsi’ yang sudah diperbetulkan itu, cuma adakah ia memang hanya persepsi atau sesuatu yang umum lihat benar dan betul. Ketepikan semua ini.
Yang penting untuk ditanya what now? Setelah 14 Adun lakukan apa yang dilakukan yang satu Malaysia sudah tahu adakah sekarang semuanya elok-elok belaka as if nothing happened? Kerana mereka sekarang ubah langkah, daripada tarik sokongan kepada menteri besar kepada kembali sokong kerajaan perpaduan, maka all is forgiven? Macam itu saja? Habis cerita?
Yang dah tak jadi exco akibat tarik sokongan sekarang jadi exco semula? Bestlah macam ini. Setelah haru-biru dibuatnya — hampir tumbang kerajaan perpaduan Negeri Sembilan dan hasrat kerjasama dengan Perikatan Nasional — semuanya settle just by making U-turn?
Baru Selasa lalu yakni 28 April, Pakatan Harapan menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan 14 Adun berkenaan. Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai tidak menghayati semangat kerajaan perpaduan. Ertinya bertentangan dengan semangat perpaduan. Kata Fahmi, seperti dilapor Bernama, PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan Umno-BN Negeri Sembilan untuk cuba ‘menebuk atap’ dan mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dengan alasan yang diberikan tidak terkait langsung dengan prestasi Menteri Besar Aminuddin Harun. Istilah yang digunakan adalah ‘pengkhianatan’. Keras.
Namun bagi Zahid, tindakan 14 Adun Umno ‘berniat baik’ iaitu memastikan institusi raja dan adat negeri terus dihormati, menurut beliau. Biarlah Zahid dengan justifikasinya bagi ‘menghalalkan’ tindakan yang telah diambil oleh Adun partinya. Tidak perlu didebat kerana ramai ada pendapat masing-masing.
Muncul pula Anthony Loke, setiausaha agung DAP. Tidaklah tahu saya mengapa Loke terpanggil untuk mendedahkan bahawa percubaan tebuk atap di Negeri Sembilan menemui jalan buntu kerana Zahid tegas menolak pembentukan kerajaan baharu.
“Presiden Ummo sendiri mengesahkan dalam Kabinet bahawa beliau tidak setuju dengan sebarang usaha menubuhkan kerajaan baharu secara pintu belakang,” kata Loke dipetik Berita Harian. Terpulang interpretasi masing-masing tentang kenyataan itu khususnya pendirian Zahid yang dikatakan beliau ambil.
Bagaimanapun Umno sebenarnya “hormat 14 Adunnya tetapi terus sokong kerajaaan negeri”. Ini dinyatakan beberpa pemimpin termasuk Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki. Saya melihat ini sebagai Umno main dua kolam — langkah yang sama Umno tuduh PAS lakukan semasa kedua-dua parti berada dalam Muafakat Nasional dulu.
Meskipun bermuafakat dengan Umno, parti pimpinan Hadi Awang pada masa sama bermesra dan berjinak dengan Bersatu. Umno berang. The rest is history.
Apa pun bagi Puad Zarkashi, ahli majlis kerja tertinggi Umno, integriti parti terjejas teruk jika 14 Adun itu berpaling tadah. Maksudnya jika mereka buat pusingan U. Puad mahu mereka terus tolak kepimpinan menteri besar. Berbeza dengan kenyataan Zahid yang disebut pada awal artikel ini.
Namun para penganalisis dipetik FMT semalam berkata keputusan Umno pusat menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan didorong sentimen pengundi, selain Umno tidak ada strategi serius mengambil alih kerusi menteri besar. Saya setuju dengan pendapat itu. Rata-rata rakyat Negeri Sembilan tidak senang dengan tindakan kumpulan 14 Adun Umno.
Bercakap mengenai sentimen pengundi, saya juga setuju saranan kolumnis FMT, Tajuddin Rasdi, agar menteri besar Negeri Sembilan menyahut cabaran bubarkan DUN dan adakan PRN mengejut. Benar kata Tajuddin bahawa pilihan raya mengejut di Negeri Sembilan akan menjadi ujian awal bagi menghadapi PRU16.
Umum tahu Umno atau ramai dalam kalangan Umno yang ghairah mahukan Umno tinggalkan kerajaan perpaduan dan bertanding pilihan raya secara solo atau bekerjasama dengan PAS. Mereka yakin menang kerana katanya kehadiran DAP dalam kerajaan perpaduan menyukarkan Umno mendapat sokongan orang Melayu.
Mungkin Umno sudah lupa.
Maka eloklah ia diingatkan pada PRU 2022 apabila Umno berkempen atas slogan ‘No Anwar No DAP‘ ia hanya mampu dapat 23.40% undi. Prestasi paling buruk dalam sejarahnya. Perlu juga diingatkan ramai rakyat termasuk pengundi Melayu yang tidak suka PH menjalin kerjasama dengan Umno kerana kata mereka Umno terpalit dan dikaitkan dengan gejala rasuah.
Jika Umno kata PH (baca: DAP) membebankan mereka, PH juga boleh kata Umno menyusahkan mereka.
“Umno kini berada di titik paling kritikal dalam sejarah kewujudannya ibarat musafir di simpang tiga — setiap jalan yang terbentang — sama ada bertanding solo, kekal bersama Pakatan Harapan atau berpaling tadbir ke arah Perikatan Nasional mempunyai risiko ‘kemalangan’ politik yang mampu melenyapkan terus relevansi parti Melayu ini.
“Tempoh dua tahun menuju Pilihan Raya Umum ke-16 bukan sekadar ruang bernafas tetapi jam randuk yang berdetik laju ke arah penghakiman terakhir,” kata orang lama Umno iaitu Kamarulzaman Zainal, yang pernah bertahun-tahun bersama Abdullah Ahmad Badawi mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran demi Umno suatu masa lalu.
Kata saya pula, bagaimana jika tidak perlu tunggu dua tahun — tup tup PRU16 diadakan. Mengejut lalu terkejut.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.