Kebenaran yang lambat sampai

Kebenaran yang lambat sampai

Pada zaman kini, masyarakat mahu segalanya berjalan pantas termasuk keadilan untuk sesebuah perkara.

ronasina

Ini zaman kita mahu segalanya pantas — makanan kita mahu siap segera, rider Grab kita mahu tiba sebelum kita sempat pakai seluar, bila hantar mesej kepada kawan pun kita harap dia jawab waktu itu juga. Begitulah dengan kebenaran sesebuah berita yang sedang menggelegak. Kita mahu ia sampai dengan pantas dan tuntas!

Apabila ‘timeline’ kita panas dengan berita kes buli atau kes dera sehingga mangsa menemui maut seperti yang berlaku hari ini, kita mahu kebenaran dibongkar segera. Kita bukan mahu tonton drama bersiri pukul 7 yang sengaja ditarik-tarik episodnya supaya jadi lambat. Kita, orang perseorangan yang apabila dikumpulkan menjadi lautan rakyat yang besar – mahukan kebenaran!

Malangnya, kebenaran bukan seperti pos ekspres, ia seperti kita menunggu bungkusan kiriman kawan kita yang mengirim menggunakan pos biasa — lambat. Silap-silap ia hilang di pusat pengagihan. Kebenaran ini, ketika kita ramai-ramai resah menunggunya, kita pun mencari sumber lain sebagai alternatif. Berita-berita tidak rasmi bergerak laju seperti mat rider menghantar makanan.

Kita sambut hantaran-hantaran ini dan mula menapisnya. Dari kes buli, kes pemandu mabuk langgar orang, kes bertumbuk di tepi jalanraya atau kes bendera dipasang terbalik yang mencetuskan amarah patriotisme segera, hinggalah naratif politik yang memupuk kebencian — semua itu telah tular sepantas kilat untuk kita nilaikan. Dan belum sempat kebenaran bangun dari tidur untuk bekerja, kita sudah pun jadi hakim dalam mahkamah media sosial.

Kita sering diberi amaran: ‘jangan percaya berita palsu’. Betul, banyak berita di luar sana diragukan kesahihannya kerana sumbernya tak ada cop sah. Tapi yang peliknya, ada juga berita yang awalnya dikatakan palsu, rupa-rupanya menjadi benar selepas beberapa hari. Ketika itu, kita sebagai orang awam tertanya-tanya — apakah kelewatan sampainya kebenaran secara rasmi itu memang disengajakan atau tidak sengaja; atau apakah ia adalah ‘kelewatan berstrategi’ untuk memastikan apa-apa yang dibentangkan nanti sudah siap sedia, konkrit dan ‘solid’ tanpa boleh didakwa-dakwi lagi?

Kebenaran dari sumber rasmi yang lambat sampai telah memberi ruang kepada pihak-pihak lain membina naratif. Lebih lama kebenaran tertahan, lebih ramai yang akan percaya versi lain. Pihak yang berkepentingan akan menunggang isu tersebut untuk meraih keuntungan dan sokongan. Ya, politik misalnya. Ini akan digunakan untuk mencalarkan kredibiliti kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Sementara di ruang maya medsos, sumber berita yang mendakwa dekat dengan sesuatu kes tersebut terus mengeluarkan satu demi satu versi mereka. Wajarkah pihak kerajaan menepisnya hanya dengan amaran supaya jangan percaya sedangkan sumber rasmi yang diharapkan masih tak muncul-muncul? Sekali lagi diingatkan, ini bukan zaman radio, tv dan suratkhabar lagi yang serba terhad. Ini zaman langit terbuka.

Paling lucu, ketika rakyat berasa masih teka-teki dan pihak politik anti-pemerintah mengambil kesempatan menanam persepsi bahawa kerajaan cuba melindungi sesuatu, muncul juga individu atau kumpulan yang pro-kerajaan cuba mengalih isu dan mengolah kepercayaan dengan mencipta naratif lain. Dalam sibuk memberitahu rakyat agar jangan percaya dengan spekulasi, mereka pula menyebar cerita baharu dengan mengalih tuduhan kepada pihak lain dengan niat jangan palitkan tuduhan kepada pihak yang mereka sokong. Apahal ni? Ini soal nyawa rakyat yang memerlukan pembelaan. Kenapa kamu semua tak habis-habis sibuk main politik? Tuduh pihak lain tak bertanggungjawab sedang kamu sendiri pun tak cakna dengan keadaan. Rakyat terbanyak hanya mahukan kebenaran!

Saya percaya kita semua boleh faham, ada berita yang sengaja diperlahankan demi mengawal ketenteraman awam. Tetapi jika kebenaran terlalu lewat, ia bukan sahaja mengundang keresahan, malah menimbulkan krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Mengelak-ngelak membuatkan rakyat berasa diperbodohkan. Pihak berkuasa akan dilihat tidak berwibawa manakala kerajaan pula dilihat gagal memberikan keadilan. Ini bahaya. Kestabilan politik boleh terganggu dan kesannya terhadap negara boleh menjadi berat.

Bukan tak pernah berlaku sebelum ini ada beberapa kes yang kebenarannya lambat sampai sehingga muncul berbagai berita versi rakyat. Kes pesawat MH370 dahulu contohnya, pun ada banyak teori. Dalam banyak-banyak teori akan ada juga yang dinilai logik dan masuk akal oleh rakyat. Dan kita tak boleh kesampingkannya begitu sahaja. Keintelektualan rakyat juga jangan dipersenda. Jangan main-mainkan kita. Kuasa rakyat besar. Tak siapa boleh menduga dari kisah seorang rakyat yang tidak terbela boleh meledak menjadi isu nasional sehingga mampu menggugat kekuasaan.

Atas sebab itulah, melalui tulisan ini saya menganjurkan bahawa pihak kerajaan harus cekap dan telus. Menuntut kecekapan bukan sahaja dalam membetulkan berita palsu tetapi juga dalam menyampaikan kebenaran dengan pantas dan telus. Sebab di era media sosial, lambat seminit pun boleh kalah. Bukan pada fakta, tetapi pada persepsi. Dan di medan persepsi inilah, kerajaan dan rakyat bertarung setiap hari. Bagaimana kalau persepsi itu akhirnya menjadi fakta yang betul? Ini yang perlu kita fikirkan. Rakyat mintanya tidak banyak. Hanya mahukan kebenaran tetapi mengapa kebenaran selalunya lambat sampai?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.