Apa cerita ni YB?

Apa cerita ni YB?

Hakikatnya untuk bentang usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri bukan susah. Bentang dan undi. Lihat keputusan. Bukan ada prosedur rumit dan berbelit-belit.

Mohsin Abdullah

Hamzah Zainudin politikus besar gamaknya. Maklumlah ada nama. Kan beliau seperti kita semua tahu timbalan presiden Bersatu?. Dan lebih hebat Hamzah adalah ketua pembangkang – jawatan yang meletakkannya dalam keadaan lebih tinggi daripada presiden parti sendiri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang.

Jika ikut amalan lazim andainya pembangkang jadi kerajaan maka ketua pembangkang yang jadi perdana menteri meskipun ini bukan sesuatu yang ‘set in stone’. Tetapi ini bukanlah isu dalam penulisan ini.

Sebenarnya, pada artikel ini saya nyatakan rasa pelik. Lalu saya tanya apa yang PN dan Hamzah nak lakukan dalam soal undi tidak percaya terhadap perdana menteri? ‘What is Hamzah talking about?’ Berhubung soal ‘no confidence vote’.

Perhatikan apa beliau kata kepada wartawan di Parlimen yang dilapor media 7 Ogos lalu. Hamzah kata usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung satu lagi usul dikemukakan terhadap Ahli Parlimen Tambun itu. Anwarlah tu.

Usul Hamzah cakap itu ialah yang dikemukakan oleh Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan 24 Julai lalu bagi merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berkaitan kenyataannya mengenai Dr Mahathir Mohamad dan isu Batu Putih.

‘Now here’s where it gets complicated’. Pada hemat sayalah. “Bila kita nak buat sesuatu kita dah ada step dia. Pertama kita dah buat untuk bawa YB Tambun ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Kita nak tengok apa speaker punya respons. Lepas tu baru kita bawa yang satu lagi. Tak boleh kita melangkaui ini sebab kita nak buat itu dulu”.

“Lepas tu baru kita bawa yang satu lagi”. Yang satu lagi tu undi tidak percaya terhadap PMXlah kan? Apa tak cakap terus terang – kan senang?

Jujur saya akui ‘confuse’ dengan apa Hamzah kata. Saya tanya beberapa kawan – yang wartawan, bekas wartawan. Ada juga pemerhati politik. Mereka pun ‘confuse’. “I’m lost here too bro,” kata si bekas wartawan politik yang masih mengikuti perkembangan politik tanah air.

Yang buat saya dan kawan-kawan pelik ialah apa yang Hamzah katakan itu dua perkara berasingan. Yang bawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tiada kaitan dengan undi tidak percaya. Tidak ada kena-mengena.

“One has nothing to do with the other,” kata kawan yang masih bertugas sebagai wartawan. Beliau berpengalaman luas dalam liputan politik dan urusan Parlimen.

Wartawan dan bekas wartawan kawan saya melihat strategi PN sebagai sesuatu yang mahu mendahului atau ‘preempt’ keputusan speaker dalam percubaan mereka bawa Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Kedua-dua kawan saya iaitu (termasuk saya) berpendapat jika keputusan tidak memihak kepada Hamzah & Co banyak tuduhan yang boleh mereka hebah dan hebohkan. Mungkin juga boleh persalahkan speaker?

Dan ‘mungkin’ hasrat mahu bawa usul tidak percaya dibatalkan. Tak jadi bawa tetapi ada ‘alasan’ yakni ‘sebab yang tu pun tak lepas tak payahlah bawa yang ni’.

Jadi tak malulah tak bawa usul tidak percaya setelah dihebah seluruh negara untuk sekian lama. Ertinya mungkin strateginya ialah untuk jaga air muka? Untuk jaga maruah kenalah ada alasan yang bermaruah. Lecehlah tak bawa usul setelah canang nak bawa. Setuju atau tidak akan pandangan saya ini terpulang.

Namun, hakikatnya untuk bentang usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri bukan susah. Maksud saya ia sesuatu yang ‘straight forward’. Bentang dan undi. Lihat keputusan. Bukan ada prosedur yang rumit dan berbelit-belit.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang. Pada 21 Julai lalu Anwar beri isyarat kerajaan tidak akan halang sebarang usul undi tidak percaya. Kata Anwar beliau sudah berbincang dengan speaker Dewan Rakyat supaya memastikan jika usul sedemikian dibentangkan ia akan dibahaskan serta-merta.

“Hari ini (21 Julai) hari pertama (sidang) Parlimen. Saya tunggu usul undi tak percaya. Kalau ada majoriti silakan,” Anwar dipetik berkata. Pada 27 Julai pula Anwar diberitakan mencabar Hamzah untuk membawa usul tidak percaya terhadapnya.

“Kita terbuka. Ini proses yang betul. Nak bawa (usul tidak percaya) sila bawa. Dia (Hamzah) kata nak bawa (usul) dah tiga tahun dah,” perdana menteri dipetik Bernama.

Menurut peraturan Parlimen urusan kerajaan – iaitu rang undang-undang atau usul yang dibawa kerajaan – diberi keutamaan berbanding usul dibawa Ahli Parlimen biasa atau pembangkang.

Menurut Malaysiakini semasa pentadbiran Najib Razak beberapa usul undi tidak percaya (terhadapnya) dimasukkan dalam aturan mesyuarat. Namun, ia berada terlalu bawah dalam senarai dan tidak sempat dibawa ke Dewan Rakyat sehingga tamat sidang.

Seseorang perdana menteri selaku ketua Parlimen mempunyai kuasa untuk memberi laluan kepada usul dibawa oleh Ahli Parlimen bukan daripada kerajaan. Saya kira itulah yang dilakukan Anwar.

Oleh itu, apa yang Anwar lakukan membuka peluang luas kepada Hamzah. Tetapi ketua pembangkang dan rakan-rakan memiih untuk menyelar perdana menteri dan menganjur himpunan untuk ‘paksa’ Anwar letak jawatan. Dan sekarang Hamzah mengutarakan pula taktik dan strategi ‘dahulukan yang ini sebelum yang itu’, yang disebut tadi.

“Patutnya Hamzah take up Anwar’s challenge and table no confidence vote tapi dia sendiri tak confident,” kata kawan saya si wartawan otai. Saya kata itu kesimpulan terbaik.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.